Dari pengalaman peribadi, menyedari tanda hipokrit dalam diri itu sangat memedihkan hati.
Saya cakap saya nak studi, tapi saya akhirnya merayap di YouTube cari political comedy. Bila baca tentang saintis atau mutakallimun silam, tenaga saya dicas penuh oleh inspirasi, ingin meluaskan cahaya ilmu yang mereka mulakan. Tetapi seminit kemudian, datang urusan harian, tentang kerja, tentang keluarga. Kemudian saya akan distracted, dan bateri motivasi habis di situ sahaja.
Rasa hipokrit juga menyerapi aspek lain hidup kita.
Saya pesan pada pelajar yang menghargai masa itu ibadah, kemudian menangkap diri sendiri membuang masa [1].
Saya mengajak pelajar merenung kepentingan keluarga berbanding kerjaya [2]. Kemudian sebelum tidur, saya sedar seluruh hari saya habis dengan kerja di komputer, walaupun secara fizikalnya saya bersama keluarga.
Bahaya menuduh diri sebagai hipokrit
Rasa hipokrit sebenarnya lebih dari emosi yang tidak selesa. Sebab kalau dibiar, ia menyebabkan kita alergi kepada kebaikan:
“Kalau setiap kali aku cakap aku nak studi, tapi lepas tu aku tak buat, kan hipokrit tu. Baik tak payah try langsung.”
‘Kalau aku share artikel kerohanian kat media sosial, tapi aku sendiri tak amalkan, aku jadi munafik. Orang pun tahu perangai aku tak sesuai nak dakwah-dakwah ni. Baik aku kongsi benda-benda lawak je.’
Antidot untuk mengelakkan alergi ini ialah mendalami erti hipokrit atau kemunafikan.
Dalam konteks lebih besar, kemunafikan itu memang serius. Hadith menggariskan tiga simptom nifaq [3].
Bahkan, terdapat seluruh surah ditujukan untuk mendepani kemunafikan dari segi defensif (ayat 1-8) dan preventif (ayat 9-11) [4].
Tetapi dalam konteks harian kita sebagai pelajar, isu ini biasanya kurang dramatik. Ia lebih kepada kesilapfahaman.
Hipokrit adalah bila kita penuhi tiga perkara:
- Badan kita buat atau mulut kita sebut sesuatu kebaikan,
- minda faham yang itu memang kebaikan, dan
- hati benci kebaikan itu.
Jadi ia bukan kalau kita cakap kita nak solat tahajud, tetapi kita malas nak buat. Sebab kita tak benci tahajud itu.
Ia bukan berhijab tetapi tak sempurna. Atau berhijab sempurna, tetapi mulut, bila membawang, tak ada syarikat insurans yang sanggup nak cover.
Dan ia bukan kita kata nak studi 3 jam, tapi baru 13 minit, kita rasa penat atau bosan mengulang benda yang sama [5].
Diagnosis semua simptom ini bukanlah kemunafikan, ia cuma kelemahan istiqamah.
Memperbaiki istiqamah yang lemah
Ada tiga perkara kita boleh cuba untuk mendepani kelemahan ini:
1. Memperbaiki monolog diri
Bila bercakap dengan diri sendiri, bezakan hipokrit dan kelemahan istiqamah. Ini penting, walaupun nampak macam hanya pembetulan makna.
Sebab dengan memadam label hipokrit dan menerima ketidaksempurnaan istiqamah diri, ia mengecilkan rasa putus asa, suara hati yang kata:
“Baik tak payah cakap kalau tak buat. Buat tambah dosa nifaq je.”
Ia akan ditukar kepada:
“Baik terus cakap, sekurang-kurangya pada diri sendiri. Itu sebahagian ikhtiar untuk buat. Kalau berhenti, perlahan-lahan aku akan lupa ikhtiar itu nanti.”
Sebab niat untuk mengubah diri itu sendiri adalah ibadah [6].
Ingatkan diri tentang prinsip penting ini:
Dalam metafizik Islam, kejayaan atau kegagalan luaran adalah objektif sekunder. MataNya hanya melihat keikhlasan tujuan dan kualiti kesungguhan, bukan hasil luaran. Bila hasil luarannya berjaya, kita syukuri dan raikan. Bila gagal, kita muhasabah dan perkasakan strategi yang kita gunakan.
2. Merenung semula kenapa kita mengajak orang lain kepada kebaikan
Bila kita ajak orang rajin belajar atau peduli agama, bukan maksudnya kita sendiri memang dah rajin atau sempurna.
Kalau orang yang sempurna saja yang patut sebarkan kebaikan, khatib solat Jumaat perlu dihalang menyebut baris khutbah yang mengajak ‘melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi segala laranganNya.’ Sebab macam insan lain, khatib hanya mampu buat sebahagian suruhanNya, dan akan terbuat sebahagian laranganNya. Nanti dia hipokrit.
Ingatkan diri, menolong orang lain memperbaiki diri adalah sebahagian ikhtiar membantu diri kita sendiri.
Niat kita cakap, tulis atau tekan butang share itu ialah untuk menambah gas oksigen motivasi: untuk menggalakkan orang lain studi, atau sekurang-kurangnya, menghormati ilmuan lain yang cuba mendisiplinkan diri.
Niat kita hanyalah untuk perlahan-lahan menggantikan gas hedonisme yang melemaskan ruang nafas ummah hari ini.
Sekurang-kurangya, kalau di media sosial kita sebarkan 30 perkongsian yang dipenuhi nasihat kebaikan, mungkin 3 akan terlekat pada hati kita sendiri, menjadi bukaan perubahan peribadi.
3. Merumuskan semula monolog diri kepada doa
Kalau biasanya kita kata:
“Kena bangun awal esok ni. Kena buat assignment. Nanti dah tak sempat.”
Tukarkan kepada:
“Ya Allah, tolong aku tidur awal kejap lagi. Kejut aku bila tubuh aku cukup rehat, mungkin dalam pukul 4. Bantu aku buat assignment lepas solat tahajud dua rakaat.”
Dari segi luaran, kita akan gagal banyak kali. Dan bila orang nampak, mereka mungkin berbisik yang kita ‘hipokrit’, ‘munafik’, atau ‘cakap je banyak tapi takde hasil’.
Tabahkan diri.
Masalah hati orang yang sinis dan judgemental terhadap kita biasanya adalah masalah persepsi mereka, bukan masalah realiti kita.
Jangan putus asa berdoa untuk diberikan kekuatan psikologi untuk melindungi hati dari hipokrit, untuk teguhkan istiqamah. Setiap doa itu adalah pigmen klorofil yang menyerap cahaya hidayah.
Tumpukan pada hakikat persepsi Dia terhadap kita, bukan ilusi persepsi hambaNya.
Nota:
[1] Antara hikmah terpenting yang perlu dibina oleh pelajar pada usia awal 20an ialah menghargai masa. Lihat Apa yang Jam Lupa Beritahu Kita Tentang Masa.
[2] Nasihat ‘bahagikan masa’ untuk kerjaya dan keluarga tak semudah yang kita sangka. Lihat Tentang Kerjaya, Keluarga dan Kebahagiaan.
[3] Tiga tanda hipokrit: Bila berbicara, dia menipu; Bila berjanji, dia mungkiri; bila dipercayai, dia mengkhianati. Lihat Sahih Muslim 59 a.
[4] Lapan ayat pertama Surah al-Munāfiqūn (Orang-orang Hipokrit) mengajar kita mengesan gejala kemunafiqan orang lain, seperti menipu dan melakukan ikrar palsu. Ini mempertahankan diri kita dari mereka. Tiga ayat terakhir mengajar kita membina imuniti dari kemunafiqan diri, misalnya dengan bersedekah dan mengawasi cinta kepada harta dan keluarga.
[5] Ada beberapa pendekatan yang kita boleh cuba bila rasa penat dan bosan masa belajar. Lihat Bila Rasa Penat Belajar dan Bila Bosan Belajar Benda yang Sama.
[6] Lihat artikel Riyadh as-Saliheen Series – Hadith 1: Reward for Intentions oleh Mariam E. di Muslim Matters.