Bagi berjuta manusia dari pelbagai bangsa dan agama, yang memahami walaupun sedikit tentang penindasan Muslim dan Kristian Palestin, peristiwa ini meremukkan hati.
Bagi Muslim, ia lebih dari itu.
Tempat suci kita diberi kepada orang lain tanpa ambil kisah apa yang kita rasa. Yang kita mampu buat ialah marah. Tunjuk perasaan. Yang ekstrim melakukan keganasan. Bukan sebab keganasan menawarkan penyelesaian, tapi ia luahan kekacauan rohani yang tak nampak alternatif lain kepada kekerasan.
Sedih. Memalukan.
Peristiwa ini petunjuk lemahnya kita sebagai ummah. Lemah bukan sebab kita tak ada sumber atau tenaga. Kombinasi ekonomi dan inteleksi 1.6 billion insan sebenarnya lebih dari yang diperlukan.
Tapi, seperti yang Rasulullah kata, kita umpama jutaan buih yang dimusnahkan arus air. Kerana wahn, mencintai dunia. Kita letak dunia dalam hati kita, lalu dunia meletak kita di bawah kakinya.
Mengembalikan perjuangan kepada yang asas
Bila tertekan, kita biasanya nak cari penyelesaian segera dan dramatik. Isunya, bila masalah itu terbina disebabkan pengabaian perkara asas berdekad-dekad lamanya, penyelesaian ajaib tak akan berlaku sekelip mata.
Bangunan yang diabaikan berpuluh tahun, dengan tiang yang retak dan lantai berlubang, tak boleh dibetulkan dengan mengecat dindingnya dengan warna baru.
Tiang dan lantainya perlu dibina semula. Perkara-perkara asas Islami yang nampak kecil perlu kembali ditekankan:
1. Pujuk diri dan orang sekeliling untuk perbaiki hubungan dengan Tuhan.
Kita takkan dapat selesaikan cabaran sebesar ini tanpa memperbaiki hubungan denganNya. Jangan berhenti bersihkan hati. Jangan berhenti berdoa.
Kalau jumpa Muslim yang kata ‘What’s the point? Kau ingat zikir dan doa boleh kalahkan Zionis?’, jangan marah mereka. Itu antara simptom tenatnya ummah yang metafiziknya lama diabaikan. Pujuk mereka dengan jawapan yang lebih ringan:
Bila cukup ahli masyarakat yang dekat dengan Allah, pemimpin yang naik adalah orang seperti masyarakatnya. Pemimpin yang buruk hanya naik bila tak cukup orang baik yang berjuang menghalangnya.
Bila pemimpin beriman berkuasa, korupsi (kalau pun tidak hilang) akan berkurang. Wang negara takkan diderma ke akaun peribadi. Penyelewengan menjadi komplikated dan tak berbaloi bila dikelilingi ramai sangat orang beriman.
Wang negara akan tersalur untuk pemantapan kepakaran Islam, sains, ketenteraan dan ekonomi.
Kekuatan yang terbina ini, pada jangka panjang, membolehkan kita memberi tekanan diplomatik untuk mempertahankan isu seperti Baitulmaqdis.
2. Berhenti salahkan pihak lain
Kelemahan ummah yang saya nampak dalam diri saya ialah keinginan menyalahkan pihak lain. Ia beri kita kelegaan psikologi; bila saya salahkan pemimpin politik Muslim, Parti Likud atau Trump, saya tak perlu tengok kelemahan diri.
Hakikatnya, hanya dengan mencari kelemahan sendiri, kekuatan sebenar dapat dibina.
Kalau Malaysia nak bersuara tentang menentang penindasan, ada tak penindasan yang kita sendiri perlu betulkan terhadap imigran dan minoriti bukan-Muslim negara ini?
Kalau tak suka negara kita membazir, ada tak kita sendiri, misalnya, membazir elektrik semasa bekerja? Ada tak korupsi kecil yang kita amalkan, yang menambah kos kerajaan?
Kalau kita rasa pemimpin Muslim tak patut lalai dengan kemewahan, ada tak kita sendiri lalai tentang solat, malas belajar, culas bekerja, disebabkan keselesaan hidup yang jauh lebih sedikit dari mereka?
3. Bantu ummah melalui kedudukan dan kekuatan peribadi
Bila kita sedar betapa besarnya isu ini, betapa ia mengambil masa, kita mungkin hilang semangat untuk terlibat.
Sebab kita bayangkan kita perlu buat benda besar seperti menjadi aktivis politik. Sedangkan minat kita bukan politik. Sedangkan disiplin belajar kita di universiti pun berterabur lagi. Sedangkan tanggungjawab kerjaya dan anak pun dah terlalu meletihkan mental dan emosi.
Jangan hilang motivasi sebab itu. Tuhan tak bebankan kita lebih dari yang kita mampu. Bantulah ummah dari posisi kita sekarang:
- Kalau awak pelajar, banjirkan hati dengan ilmu. Jadikan diri sangat sofistikated dan berhikmah, supaya 10 tahun dari sekarang, awak menjadi aset ummah.
- Kalau awak pendidik, cari arena ilmu yang sesuai dengan jiwa, dan dalaminya habis-habisan, berpuluh kali lebih kuat dari masa awak studi dulu. Melalui ilmu itu, gerakkan paradigma ummah ke kiblat sebenar. Dan perbaiki adab; dalam falsafah Islam, adab lebih penting dari jumlah fakta yang awak tahu.
- Kalau awak suri rumah, jangan rasa rendah dari orang yang bekerja. Antara sebab kita lemah ialah institusi keluarga yang huru-hara. Dari segi itu, awak sebenarnya lebih penting dari orang berkarier. Islam perlukan awak dan anak-anak awak untuk mengubah nasib ummah bila mereka dewasa.
Kalau awak minat menulis, menyanyi, melukis, atau apa sahaja medium ekspresi, hasilkan sesuatu yang mendekatkan orang lain kepada Tuhan.
Kalau awak belum pandai benda itu semua, sekurang-kurangnya share hasil tulisan, nyanyian atau lukisan dakwah orang lain. Mudah-mudahan, Dia beri awak ganjaran yang sama seperti yang diberi kepada mereka.
Setiap kita adalah harapan masa depan Baitulmaqdis
Semua contoh itu diberi bukan untuk sedapkan hati. Ia prinsip praktikal yang mengukuhkan peluang perubahan besar suatu hari nanti. Mengembalikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, walaupun nampak kecil, akan perlahan-lahan memulihkan kekuatan strategik umat Islam.
Berdiri di depanNya nanti, kita takkan ditanya benda-benda besar yang orang lain patut buat. Kita akan ditanya tentang apa yang kita buat, yang kita takkan mampu salahkan orang lain.
Akhir sekali, jangan putus harapan. Baitulmaqdis telah bertukar tangan berkali-kali dalam ribuan tahun sejarahnya.
Ia akan dimenangi semula, bila umat Islam kembali layak memilikinya.