Bermula tahun 1938, saintis Harvard mengikuti 724 peserta untuk mengkaji tentang kebahagiaan.
Sebahagian peserta adalah bekas pelajar universiti berprestij Harvard dan sebahagian yang lain adalah remaja dari keluarga kurang berada di Boston [1].
Sepanjang 75 tahun, penyelidik mengambil data yang komprehensif. Mereka menggunakan soal selidik, temu ramah dengan keluarga peserta, rakaman video, dan rekod perubatan seperti bacaan darah.
Ada tiga kesimpulan yang mereka temui tentang kebahagiaan jangka panjang:
1. Kesunyian boleh membunuh.
Individu yang memiliki hubungan erat dilaporkan lebih sihat, lebih puas dengan hidup dan memiliki jangka hayat lebih lama.
Individu yang terasing dari hubungan penting melaporkan sebaliknya. Mereka kurang menikmati kepuasan hidup, walaupun banyak pencapaian harta dan kerjaya. Mereka mengalami penyakit serius pada usia lebih muda dan mati lebih awal.
2. Kualiti hubungan lebih penting dari kuantitinya.
Kesunyian yang membunuh itu tadi boleh berlaku walaupun individu itu berkeluarga, mempunyai ramai kawan dan popular dalam bulatan sosialnya.
Perkahwinan yang berkonflik tinggi misalnya, yang penuh permusuhan, lebih merosakkan kesihatan fizikal berbanding penceraian. Untuk meramal kesejahteraan emosi dan kesihatan, kualiti hubungan yang erat adalah pembolehubah lebih utama dari sebanyak mana kuantiti hubungan yang kita ada.
3. Hubungan yang erat melindungi kecerdasan minda
Hubungan erat pada usia 80an melewatkan kemerosotan fungsi neuron dalam otak kita. Kesihatan pada usia 80an lebih dipengaruhi kualiti hubungan kita pada usia 50an berbanding petunjuk fisiologi seperti paras kolesterol.
Kualiti hubungan yang kita ada mempengaruhi kualiti kesihatan minda kita pada aspek yang sangat neurologikal.
Kebahagiaan bukan hanya tentang keseimbangan
Kajian 75 tahun ini menunjukkan, apa yang nampak bersinar depan mata kita sekarang — duit, pangkat, perhatian sosial — mungkin bukan sebenarnya apa yang kita perlu.
Dalam hidup kita seharian, kita akan berdepan pilihan komitmen yang susah. Tekanan cita-cita boleh memaksa kita menghabiskan lebih masa untuk studi atau berkerja berbanding untuk bersama keluarga.
Ia pilihan yang rasional. Sebab, di universiti contohnya, kualiti hubungan dengan ibu bapa takkan dikira dalam CGPA kita.
Dekat tempat kerja, bila capai sasaran jualan, syarikat akan beri ganjaran, tak kisahlah betapa lemah hubungan kita dengan anak isteri di rumah.
Semua realiti ini tak boleh diringkaskan dengan nasihat klise seperti ‘Seimbangkanlah kerjaya dan keluarga.’
Sebab memilih untuk berkata ‘tidak’ terhadap permintaan di tempat kerja biasanya lebih susah dari itu semua.
Misalnya, kebanyakan komitmen kerjaya kita datang sebagai projek berkumpulan. Kalau kita tolak, kawan kita yang kena buat. Kita tak nak kecewakan rakan sekuliah atau rakan sekerja yang banyak tolong kita. Kita tak nak dianggap sebagai ‘loser’ atau orang yang ‘tak boleh diharap’ atau ‘orang lembab yang tak pandai bahagikan masa’.
Jadi, bila berdepan situasi harian yang memerlukan kita memilih keluarga berbanding kerjaya, melakukan pilihan yang sukar itu memerlukan kekuatan dalaman.
Kekuatan itu kita boleh bina dengan kejelasan prinsip diri yang dijelajahi melalui beberapa soalan:
1. ‘Siapa orang yang lebih tua dari aku yang melambangkan Hikmah dan kebahagiaan, walaupun tak popular atau kaya?’
Dekati perbualan atau tulisan mereka, supaya kita dapat serap falsafah yang mereka pegang dalam membandingkan keutamaan dalam kehidupan.
2. ‘Sumbangan kerjaya apa aku nak beri, kalau aku tak peduli kenaikan pangkat, pujian orang atau pendapatan tinggi?’
Itu akan bantu kita bezakan definisi ‘berjaya’ yang kita sendiri bina, berbanding imej ‘berjaya’ yang dipamerkan di media sosial atau di organisasi tempat kerja.
3. ‘Di sebelah katil kematian aku nanti, siapa yang aku harap ada di situ, dan siapa yang kalau tak ada kat situ pun tak apa?’
Ini bantu kita menapis dengan teliti hubungan mana yang kita nak prioritikan dalam hidup kita. Masa untuk hubungan itu kita takkan kompromi walaupun kita masih ada kerja (dalam kebanyakan bidang profesional, kita akan sentiasa ada kerja).
Tingkatkan kejelasan suara prinsip kebahagiaan dalam diri melalui pengulangan soalan-soalan kunci
Soalan-soalan kunci seperti itu tadi perlu diulang dari semasa ke semasa. Sebabnya, kita mudah terlupa prinsip kita bila ditawarkan jawatan lebih tinggi, projek yang menarik, atau bila ditekan deadline.
Bila suara prinsip kebahagian itu tak jelas pada diri kita sendiri, ia akan tenggelam dalam gelombang suara-suara lain di luar sana.
Tapi, semakin suara prinsip kita jelas, semakin kita tak terkesan oleh nada sinikal yang persoalkan keputusan kita, keputusan yang pada mereka tak membantu kita ‘berjaya’.
Suara prinsip itu tadi akan menjana medan perisai yang sukar ditembusi.
Sebab kita tahu, bukan semua suara luaran itu memiliki Hikmah, atau mengenali siapa diri kita yang sebenar. Dan pemilik suara-suara itu tak akan berada di sisi katil kita pada hujung perjalanan kita nanti.
Nota:
[1] Dua kajian yang disatukan ini dipanggil Grant and Glueck Study. Antara peserta kajian ini termasuklah John F. Kennedy, presiden Amerika Syarikat yang terkenal kerana ditembak mati. Artikel ini adalah versi Melayu bagi Happiness: What We Learn from a 75-year Harvard Study.