Kita biasanya tak selesa merenung tentang persediaan kematian kita sendiri. Hakikatnya, dalam senarai peristiwa yang mungkin kita lalui, kematian adalah yang paling pasti.
Rakan sekerja saya meninggal akibat komplikasi strok. Pemergiannya sangat terkesan kepada kami yang mengenalinya, sebab ia berlaku terlalu tiba-tiba, terlalu tak disangka.
Dia masih muda, sihat dan sangat aktif, jauh lebih aktif dari saya.
Sejujurnya, saya tak jumpa kenapa apa yang berlaku kepada dia tak boleh berlaku kepada saya. Jadi, nota kecil ini ditulis untuk memproses apa yang berlaku, dan memulakan persediaan kematian saya sendiri.
1. “Saya bukan milik awak”
Kematian kita nanti akan menjadi cabaran emosi terbesar keluarga kita. Didiklah mereka supaya kekuatan spiritual mereka tidak terikat pada kehadiran fizikal kita.
Akarkan kekuatan itu kepada Tuhan. Sediakan mereka dari segi kemahiran kehidupan, pengurusan emosi dan kejernihan rohani, supaya mereka dapat meneruskan perjalanan hidup yang bermakna selepas kita pergi.
Misalnya, ingatkan pasangan kita yang “Saya bukan milik awak, dan awak bukan milik saya. Kita berdua adalah milik Tuhan.
“Perasaan sayang antara kita mesti dialas di atas cinta kepada Tuhan, seperti permaidani yang dialas di atas lantai yang kukuh.
“Kita kena pastikan lantai itu takkan runtuh. Supaya kalau saya tiba-tiba mati, awak akan ada tempat berdiri. Awak takkan jatuh.”
2. Persediaan kematian yang praktikal
Persediaan praktikal ini penting terutamanya kalau kita adalah sumber pendapatan utama keluarga. Jadi tanya diri, “Kalau aku meninggal tahun ini, apa yang aku perlu sediakan tentang kewangan keluarga aku?”
Kongsi kata laulan akaun simpanan dan akaun pelaburan pada pasangan. Sebab lepas kita mati, aset kita dibekukan sementara. Sepanjang tempoh itu, kita nak keluarga kita ada akses pada semua kecairan aset yang kita ada.
Susun dan label bahan logistik dan praktikal, misalnya dokumen-dokumen penting keluarga. Letak di tempat yang mereka mudah jumpa. Pastikan mereka tahu untuk akses cloud accounts kita, terutamanya fail kewangan yang kita ada.
Lebih penting dari pelan takaful atau pelaburan, prioritikan juga untuk tinggalkan ilmu pengurusan kewangan. Sebab sebanyak mana pun aset yang mereka warisi, tanpa ilmu, mereka akan hilang semuanya nanti.
Contohnya, ajar mereka guna app pengurusan kewangan yang mudah [1]. Ajar mereka untuk elak hutang pengguna atau consumer debt.
Jadikan matlamat hidup kita untuk bebas hutang [2], walaupun itu buat kita nampak ‘miskin’ di mata orang.
Sebab kematian kita nanti adalah beban emosi kepada keluarga. Jadi kita tak nak tinggalkan hutang sebagai beban tambahan pada orang yang kita sayang.
3. Renungi kenapa kita menjaga kesihatan
Masa kematian rakan sekerja saya itu berlaku, hati saya terdetik, “Kenapa aku nak jaga kesihatan, kalau orang yang lagi sihat dan lagi cergas dari aku pun boleh meninggal tiba-tiba macam itu?”
Iman dan Hikmah kita diuji. Hati perlu diingatkan, menjaga kesihatan bukanlah untuk menghalang kematian.
Kesihatan fizikal dijaga kerana cinta kepada Tuhan. Ia tanda kita menghargai tubuh kita sebagai sut tempur biologi yang Dia pinjamkan. Menjaga kesihatan adalah salah satu persediaan kematian.
Kesihatan dijaga sebagai amanah, supaya kita dapat menikmati sepenuhnya keindahan kehidupan, dan dapat menyempurnakan sebaiknya tanggungjawab perjuangan [3].
4. Hargai orang lain
Menghargai orang lain tak perlu pemberian yang luar biasa. Kita tak perlu beri friendship flowers kepada kawan-kawan perempuan, atau belanja tiket bola Premier League untuk kawan-kawan lelaki kita.
Hargailah mereka melalui perkara-perkara yang mudah.
Senyum.
Sebelum terima atau tolak pendapat mereka, pastikan kita dengar sepenuhnya.
Maafkan mereka bila mereka terkasar.
Sabar terhadap kelemahan mereka.
Hargai jasa mereka melalui lisan dan perlakuan.
5. Jangan besarkan perselisihan kecil
Saya sangat lega saya tidak bergaduh dengan rakan sekerja saya itu masa kali terakhir kami berjumpa.
Sebab ketika itu, saya tak pernah sangka langsung ia adalah pertemuan terakhir kami.
Kalau berselisih faham, jangan dipanjang-panjangkan [4].
Dalam perspektif yang mengambil kira keseluruhan kehidupan dan kematian, banyak sangat benda yang kita tak puas hati, bila diteliti, terlalu kecil untuk digaduhkan.
Utamakanlah untuk mencari tenang, lebih dari mencari menang.
6. Mudahkan perjalanan hidup orang lain
Dalam urusan kerja atau peribadi, permudahkanlah situasi orang lain. Imbangkan antara keperluan prosedur peraturan dengan hikmah kemanusiaan.
Cari juga peluang meringankan beban hati orang lain.
Saya pernah menegur seorang lelaki India yang nampak sedih. Dia berdiri dan termenung di kawasan rumah saya. Pada akhir perbualan kami, dia menangis, berterima kasih dan memeluk saya.
Saya tak buat apa-apa, cuma luangkan beberapa minit untuk dengar dia sepenuh hati, kemudian beri dorongan tentang apa yang dia lalui.
Perjalanan hidup kita semua tak lama. Dan kebaikan yang nampak kecil pada kita, kadang-kadang sangat besar kesannya pada perjalanan hidup orang yang kita jumpa.
7. Persediaan kematian terpenting adalah menghidupkan misi yang bermakna
Maksudnya, laburkan tenaga kita pada misi hidup yang Tuhan gerakkan hati kita untuk buat.
Misi itu adalah sesuatu yang hati kita tetap nak usahakan, walaupun ia tak dipandang sebagai ‘berjaya’ [5]. Sebab objektif primer misi itu adalah ibadah kepada Tuhan. Teruskan mencari sampai jumpa. Hidup terlalu singkat untuk kejar sesuatu yang tak bermakna pada kita.
Paling penting, jangan tunggu misi itu datang. Sepanjang pencarian, buat yang terbaik dalam apa-apa bidang yang Tuhan letak dalam hidup kita sekarang.
Impian kita tak semestinya perlu epik. Sebab legasi atau warisan yang bermakna bukan bermaksud sesuatu yang menjadikan kita kaya atau dikenali jutaan manusia.
Legasi yang bermakna ialah perkara bermanfaat — walaupun kecil skalanya — yang kita buat dengan sepenuh hati dan minat, yang menyentuh hidup insan lain di sekeliling kita.
Kematian adalah yang paling pasti
Dalam senarai peristiwa yang mungkin kita lalui, kematian adalah yang paling pasti. Dan seringkali, kita memang tak selesa untuk merenung tentang persediaan kematian.
Tapi kita perlu cuba, kerana ada ketikanya cahaya ilmu akan datang dari merenungi saat yang gelap dalam hidup kita.
Merenungi kematian di sekeliling kita, dan memanfaatkannya untuk mempelajari sesuatu, adalah salah satu dari cahaya itu.
Nota:
[1] Untuk kawal perbelanjaan, saya guna Goodbudget. Kita boleh segerakkan (synchronise) perbelanjaan. Kalau pasangan awak beli barang dan rekod guna fon dia, data itu akan direkod dalam fon awak juga.
[2] Antara strategi tidak langsung untuk mengelakkan hutang ialah melindungi kebebasan minda dari iklan. Lihat Advertisements and Our Freedom.
[3] Prinsip yang sama kita boleh gunakan terhadap pegangan harta kita. Lihat Jangan Letak Hati dalam Laptop”: Pedoman Menghargai Rezeki.
[4] Konflik di tempat kerja perlu diselesaikan semasa ia kecil. Lihat 5 Ways to Manage Conflict in the Workplace dan A Step-By-Step Guide to Resolving Conflicts Peacefully.
[5] Lihat Design Your Life Story, Listen to ‘Unsuccessful’ People.