Semasa di program matrikulasi, emosi saya pernah runtuh, sampai menangis di bilik kaunselor — krisis emosi selepas dapat straight A.
Krisis yang dicetus rasa penat.
Di sekolah, saya lemah dalam sains. Markah saya selalu dalam 50% untuk Biologi, 30% untuk Kimia dan Fizik, dan sekitar 15% untuk Matematik Tambahan.
Jadi, untuk dapat GPA 4.0 di kolej matrikulasi adalah satu pencapaian hebat.
Malangnya, kerahan tenaga untuk sampai ke situ menyebabkan psikologi saya sangat-sangat penat.
Penat yang dicetus rasa kosong.
Ada sesuatu dalam sistem persekolahan ketika itu yang mendekatkan kita dengan markah sambil menjauhkan kita dengan minat berilmu.
Peperiksaan, pada minda saya dulu, adalah tembok-tembok rawak yang orang dewasa letak. Mereka suruh kita panjat.
Bila kita berjaya panjat, kita diberi ‘A’. Kita diberi pujian atau anugerah.
Cuma, kadang-kadang hati kita tak faham kenapa kita disuruh panjat tembok-tembok itu. Hati perlukan erti. Untuk seluruh psike kita dikerah, untuk kita menghalakan seluruh tenaga intelek, emosi dan rohani, markah yang tinggi tidak memadai.
Kita mungkin dapat semua ‘A’ dan semua anugerah. Kita mungkin berjaya panjat tembok tinggi yang diletak. Tapi di atas tembok itu, kita akan rasa kosong.
Rasa kosong yang mencetus krisis.
Hubungan diri dan ilmu sebagai pelajar dewasa
Krisis hubungan diri dan ilmu tak semestinya terzahir secara ekstrim seperti keruntuhan emosi di bilik kaunseling.
Lebih kerap, kita cuma akan rasa ‘terpisah’, rasa tak kisah dengan apa yang diajar. Minda di dewan kuliah, hati di tempat lain.
Betul, untuk ubah situasi ini, banyak perubahan sistemik yang perlu dilakukan orang lain (pensyarah, pengurusan fakulti, pentadbir negara).
Tapi sebagai pelajar dewasa, kita tak boleh tunggu perubahan sistemik yang sempurna. Kita tak boleh harapkan orang lain tentukan destinasi kita.
Semakin kita dewasa, semakin penting untuk kita ambil tanggungjawab peribadi tentang evolusi hubungan diri dan ilmu:
1. Manfaatkan fleksibiliti rutin pelajar dewasa
Di sekolah, rutin kita dikawal ketat: bila kena tuisyen, pukul berapa waktu rehat, banyak mana kerja rumah kena buat.
Selepas habis sekolah, struktur disiplin luaran itu hilang perlahan-lahan.
Dengan kebebasan baru itu, kita mungkin rasa terapung-apung. Kita tak tahu bila, berapa lama, dan macam mana kita patut belajar.
Jadi kita perlu bina struktur disiplin baru.
Fahami macam mana diri kita belajar. Misalnya, sepanjang minggu ini, perhatikan aras tumpuan pada sebelah pagi, petang dan malam. Nilaikan secara kualitatif atau letakkan skor bagi setiap sesi.
Kemudian, berdasarkan data itu, reka jadual belajar peribadi. Manfaatkan app kalendar seperti My Study Life yang menyasarkan pelajar. Atau untuk kerahsiaan data, cuba Mailfence atau Tutanota.
Letak waktu bermain (streaming, gaming atau hiburan lain) dalam jadual ini. Pertama, sebagai hadiah kepada diri. Kedua, untuk disiplinkan diri untuk tidak bermain di luar slot ini.
Rutin studi kita tak perlu sama dengan orang lain; kita bukan klon mereka. Tuhan meletakkan keunikan individu dalam setiap ciptaanNya.
Manfaatkan keunikan itu.
2. Merdekakan diri dari faktor luaran
Di mana kita belajar, dengan siapa kita belajar, kelengkapan teknologi apa yang ada masa kita belajar; semua itu adalah faktor luaran yang penting.
Semua itu mempengaruhi berapa minat kita terhadap sesuatu ilmu, dan sebaik mana kita menguasai ilmu itu.
Cuma kita tak boleh biar faktor luaran menentukan sejauh mana kita pergi dalam hidup kita.
Jadi, pindahkan sebanyak mungkin tanggungjawab menuntut ilmu ke dalam diri. Jangan biar hubungan kita dengan ilmu ditentukan sama ada pensyarah kita minat mengajar atau tidak, internet kita laju atau tidak, atau kawan sekeliling kita rajin atau tidak.
Terus cari, cari, dan cari alternatif untuk kita rempuh batasan luaran dalam perjalanan kita.
Ingatkan diri ada orang lain yang lahir tanpa kaki dan tangan:
Kisah hidup Nick1 Vujicic, N. (2012). Life without limits. WaterBrook. menunjukkan batasan luaran tak perlu menghalang kita menguasai ilmu dan kemahiran hingga mampu menyentuh hidup jutaan insan.
3. Renungi niat berilmu sebagai pelajar dewasa
Semakin kita dewasa, semakin kita sedar yang kita tak boleh belajar untuk mengharapkan markah, anugerah atau pujian. Bila niat berilmu dihalakan ke selain dari Tuhan, kita akan temui satu peringkat di mana belajar itu rasa kosong dan membosankan.
Dalam belajar, bebaskan hati dari matlamat yang melemaskan ikhlas. Jadikan Dia, dan hanya Dia, sebagai kiblat berilmu.
Bila kiblat itu dibetulkan, bukan bermaksud subjek pelajaran akan secara magik menjadi senang. Kita masih perlu berjuang. Cuma bila psikologi kita melihat studi sebagai ibadah, belajar akan rasa lebih mudah walaupun material ilmu itu nampak susah.
Dan benda-benda yang dulu mustahil, misalnya bangun pukul 5 pagi untuk studi, akan jadi sebahagian dari rutin peribadi.
Rezeki berilmu boleh datang ‘tiba-tiba’
Penting sekali, yakinkan diri yang Tuhan nampak usaha kita. Ganjaran usaha istiqamah akan datang bila sampai masanya.
Saya sendiri melaluinya, didatangi rezeki yang saya tak layak, rezeki yang datang ‘tiba-tiba’:
- Pada akhir pengajian Bacelor, tanpa buat permohonan, ‘tiba-tiba’ ketua jabatan di fakulti panggil saya, memberi peluang untuk melangkau bidang Master, untuk terus buat PhD di luar negara.
- Di Australia, ketika saya berdiri di depan jurang kegagalan, ‘tiba-tiba’ Malcolm (pelajar senior) datang selamatkan. Tak lama kemudian ‘tiba-tiba’ ada pelajar baru, Prema dan TJ, masuk mendaftar. Mereka keluarkan saya dari kemurungan.
- Bila UPM hentikan elaun pengajian, dan keluarga tak mampu beri bantuan kewangan, ‘tiba-tiba’ The University of Newcastle ada dana khas untuk bantu saya survive kehidupan harian.
Amalkanlah tiga prinsip tadi, walaupun kita tak nampak ganjaran keikhlasan berilmu hari ini. Berikan masa. Biar Dia yang tentukan apa rezeki kita nanti.
Dan jangan bandingkan apa yang kita lalui berbanding orang lain. Setiap insan ada cerita hidup sendiri.2Lihat Design Your Life Story, Listen to ‘Unsuccessful’ People.
Perkasakan tawakkal itu dengan memperbaiki hubungan diri dengan Pemilik Segala Ilmu.
Ingatkan diri yang Dia menzahirkan rezeki pada kadar dan waktu yang terbaik untuk kita, walaupun persepsi kita takkan mampu memahami kesempurnaan perancanganNya:
‘… dan Dialah yang menciptakan setiap sesuatu, lalu menentukan keadaan sesuatu itu dengan perkiraan ketentuan yang sempurna.’3Ayat 2, al-Furqān (Ukuran yang Membezakan). Berkaitan ayat ini, Imam al-Ṭaḥāwī (m. 933) menegaskan asas akidah kita:
‘Seseorang hambaNya wajib mengetahui yang pengetahuan Tuhan mendahului setiap penciptaan. Kemudian, Dia mengukur segalanya dengan tepat dan muktamad. Tiada ciptaanNya di langit dan di bumi yang dapat membatalkan, menolak, mengalihkan, mengubah, mengurangkan dari, atau menambah kepada ketetapanNya.’
~ Pernyataan 63 (terjemahan saya), dalam Yusuf, H. (2009). The Creed of Imam al-Ṭaḥāwī. Fons Vitae.
- 1Vujicic, N. (2012). Life without limits. WaterBrook.
- 2
- 3Ayat 2, al-Furqān (Ukuran yang Membezakan). Berkaitan ayat ini, Imam al-Ṭaḥāwī (m. 933) menegaskan asas akidah kita:
‘Seseorang hambaNya wajib mengetahui yang pengetahuan Tuhan mendahului setiap penciptaan. Kemudian, Dia mengukur segalanya dengan tepat dan muktamad. Tiada ciptaanNya di langit dan di bumi yang dapat membatalkan, menolak, mengalihkan, mengubah, mengurangkan dari, atau menambah kepada ketetapanNya.’
~ Pernyataan 63 (terjemahan saya), dalam Yusuf, H. (2009). The Creed of Imam al-Ṭaḥāwī. Fons Vitae.