Saya tergerak untuk menulis tentang menghargai rezeki bila laptop saya dan laptop isteri saya rosak.
Menariknya, ia berlaku pada masa yang hampir serentak. Jadi kami berpeluang memerhati reaksi satu sama lain.
Semasa berbual tentang reaksi kami, perbincangan kami terfokus pada kesan pegangan material terhadap ketenangan hati.
Ikatan Emosi Terhadap Pegangan Material
Dalam hidup, ada barang-barang yang bersama kita bertahun-tahun seperti laptop.
Secara tak sedar, kita membentuk ikatan emosi terhadap barang tersebut. Perlahan-lahan, ikatan itu menjadi terlalu ketat, hingga kita letak sebahagian nilai diri ke dalam item tersebut. Hati kita dibiar masuk ke dalam laptop.
Bila itu berlaku, pegangan material itu akan hilang “fungibility” (istilah falsafah perundangan yang bermaksud “boleh ditukarganti”).
Contohnya, bila orang rosakkan laptop kita, faktanya ialah,
“Dia rosakkan laptop ini.”
(Laptop adalah material “fungible”yang boleh dibaiki dan ditukarganti)
Sebaliknya, tanpa sedar, emosi kita kata,
“Dia rosakkan laptop aku! Nampak sangat dia tak hormat sesuatu yang bernilai pada aku. Dia tak hormat nilai diri aku.”
(Kita letak hati kita, kita letak “aku” dalam laptop itu — our personal sense of value).
Ini memberi peluang untuk nafs atau ego untuk menyimbah petrol tambahan,
“Sekarang aku tak boleh buat kerja. Menyusahkan!”
(Sebenarnya boleh, tapi ego menutup fakta itu.)
“Sekarang aku kena belanja beribu untuk tukar baru!”
(Sebenarnya boleh dibaiki dengan nilai yang lebih rendah, tapi ego akan exaggerate fakta itu.)
Haba reaksi itu akan menyerabuti kompas prioriti. Kita berisiko tercakap sesuatu yang menyakitkan orang lain. Kita mungkin merosakkan hubungan yang kita tahu nilainya jauh lebih tinggi dari sebuah peranti elektronik.
Atau, kalau kerosakan itu disebabkan kesilapan sendiri, api marah dan rasa bersalah akan dihala ke dalam diri.
Dalam kedua-dua situasi, kita akan habiskan berjam-jam, mungkin berhari-hari di ruang gelap emosi yang penuh geram dan penyesalan, jauh dari cahaya ketenangan.
Jangan sayang langsung rezeki material?
Satu hari, semasa cuti Hari Malaysia, saya dan famili di kampung menonton cerita Kereta Kita. Watak utamanya menamakan kereta kesayangan (Proton Saga 1985) miliknya. Walaupun drama itu bertemakan nostalgia patriotik, tapi pada saya ia juga Islamik.
Sebab ia mengingatkan saya syarahan Sheikh Hamza Yusuf yang menceritakan bagaimana Rasulullah menamakan barang-barang milik baginda [1]. Serban baginda dipanggil al-Sahaab, “Awan”, sebab ia melindungi kepala baginda dari keterikan mentari padang pasir.
Fitrah hati yang bersih akan menghargai rezeki, menyayangi sesuatu yang ditemuinya, sama ada sesuatu itu objek material atau makhluk bernyawa.
Sebab metafizik Islam melihat seluruh isi kosmos sebagai ekspresi kuasa dan cintaNya. Tak kiralah sama ada koleksi partikel itu tersusun dalam bentuk kereta, serban atau laptop, hati akan tetap tertarik padanya, membayangi fitrah yang tertarik kepada Pencipta segalanya.
Menghargai rezeki material duniawi
Jadi, kedua-dua penjuru ekstrim perlu dielakkan: Terlalu obsesi dengan sesuatu, atau langsung tak sayang dengan sesuatu itu.
Untuk perbaiki diri, saya cuba amalkan lima prinsip ini:
1. Fahami bahawa menamakan atau menyayangi objek di sekeliling adalah fitrah Islami.
2. Jangan perkecilkan emosi orang bila barang mereka rosak atau hilang, walaupun pada kita itu “benda kecil”. Bantu mereka menemui tenang melalui hikmah.
3. Jadikan setiap pegangan material hanya sebagai “tetamu” hati kita, dan, seperti semua “tetamu”, ia akan meninggalkan hidup kita bila sampai masanya.
4. Bersedia juga secara praktikal untuk teknologi kita yang, bukan hanya mungkin, tapi akan rosak suatu hari nanti (e.g. cloud backup untuk data penting).
5. Jadikan pegangan material kita sebagai pencetus zikir; lafazkan Alhamdulillah bila menyentuh barang yang disayangi, Bismillah bila mula menggunakan apa-apa teknologi.
Mulai saat ini, Ingatkanlah diri yang semua barang “aku” hakikatnya bukan milik “aku”, tapi milik “Pemilikku”.
Nota:
[1] Video tersebut bertajuk A Society Which Gives No Meaning. Laman rasmi Shaykh Hamza ialah Sandala.