Suatu hari, masa minum air coklat di depan perpustakaan, seorang pelajar datang duduk di sebelah saya. Pada satu peringkat, perbualan kami berkisar ke kedewasaan cinta.
Dia buat saya sedar, fikrah saya tentang cinta pada umur 30-an berbeza dari dia yang berumur 20-an. Saya tergerak untuk menulis kefahaman tentang cinta saya yang berubah sejak saya seusia dia.
1. Cinta adalah makhluk Allah yang berubah bentuk
Cinta lebih banyak bentuknya dari makhluk dalam bagasi Newt Scamander. Hanya kerana kawan awak yang bercinta nampak seronok, tak semestinya awak akan dapat bentuk cinta yang sama.
Lebih penting, bentuk makhluk cinta yang kawan awak bela itu pun akan berubah-ubah. Ada masa ia OK, dan ada masa ia lebih menyusahkan dari seekor niffler.
Jadi perasaan crush pada seseorang bukan tanda sedia untuk bercinta. Awak hanya bersedia bila awak tak lagi naif dengan sisi hodoh cinta, bila awak mampu uruskan kesakitan dan kegilaan sisi itu di atas landasan agama.
2. Cinta romantik itu penting, tapi bukan segalanya
Untuk uruskan makhluk polimorfik cinta, awak akan laburkan perhatian, emosi dan masa.
Awak mungkin rasa ia pelaburan yang awak mampu bayar. Banyak faktor – fisiologi dan hormon, hiburan yang awak tonton, kawan-kawan, media sosial – akan pujuk awak untuk membiarkan hubungan romantik mencuri fokus awak dari studi, dari membangunkan ilmu dan diri.
Mungkin betul awak mampu bayar pelaburan itu. Mungkin PNGK awak konsisten atas 3.75, kemahiran insaniah awak di tahap dewa, dan iman awak kuat untuk mendisiplinkan diri dan orang kedua. Orang macam itu mungkin ada.
Cuma, kalau sekarang pun disiplin awak huru-hara, dan awak masih nak laburkan perhatian, emosi dan masa untuk bercinta, awak kena minta kawan rapat tampar muka awak dengan penuh kasih sayang.
Kalau tidak, awak akan menyesal beberapa tahun dari sekarang.
Sebab payung terjun graduasi akan mendaratkan awak di medan tempur kehidupan. Tanpa kelengkapan, tanggungjawab kedewasaan menjadi hujan peluru depresi — emosi awak akan berdarah dengan kerisauan.
Nanti awak akan salahkan kerajaan atau orang sekeliling atas kesusahan hidup. Sedangkan jauh dalam hati, awak sedar yang awak sepatutnya berada di posisi yang lebih baik, kalaulah perhatian, emosi dan masa untuk bercinta dulu awak laburkan untuk perkasakan ilmu dan diri.
3. Cara menilai kecantikan akan berubah
Hakikat paling payah untuk awak terima sekarang ialah: Kecantikan fizikal adalah penting tapi kriteria kecil untuk buat awak bahagia.
Dopamin dan serotonin kita akan abaikan hakikat tersebut. Kita berilusi yang cantik itu sinonim bahagia. Kita akan bias; otak kita label perempuan cantik itu baik, walaupun kita tak kenal siapa dia.
Ilusi itu akan lenyap nanti.
Lebih banyak awak berfikir dan berzikir tentang erti kebahagiaan, lebih cepat persepsi spiritualiti tentang kecantikan akan berevolusi.
Awak akan faham yang kecantikan spiritual seseorang itu jauh lebih penting dari kecantikan fizikal.
Lebih lambat awak sedar hakikat itu, lebih berisiko untuk tersalah penilaian. Sebab dia cantik, awak abaikan red flags keagamaan. Kemudian nanti, psikologi awak akan sengsara dengan karenah dia. Kesengsaraan itu akan tumpah ke aspek lain kehidupan, meracuni kesihatan dan kerjaya.
4. Kalau belum bercinta
Bersyukurlah kalau awak belum bercinta. Akan ada bisikan yang kata awak ‘tak laku’. Itu suara ego yang menipu. Nilai diri kita bukan pada minat orang lain, terutamanya bila minat itu lebih didorong hormon berbanding iman.
Ingatkan diri yang Allah tengah jaga hati awak. Jadi jangan cari dan terima sesiapa hingga awak bersedia.
Definisi sedia itu perlu ditentukan sendiri. Idealnya ialah jangan mula mencari sehingga awak bersedia untuk bernikah 6-12 bulan dari sekarang.
Dan jangan rasa, ‘Memanglah belum nak nikah, tapi kalau tak couple sekarang, aku takkan jumpa orang sebaik dia lagi’. Syaitan memang kreatif bila berhujah.
Kebarangkalian untuk jumpa yang lebih baik sebenarnya tinggi. Berbanding sekarang, awak akan kenal ramai lagi orang (dalam dan luar negara) bila awak dah sedia nanti. Pada masa itu, tahap intelek dan peribadi awak jauh lebih tinggi, dan itu buat awak jauh lebih menarik.
Dan bila kita tolak seseorang atau sesuatu kerana Allah, Dia akan sentiasa gantikannya dengan yang jauh lebih baik.
Jadi, fokus awak sekarang ialah untuk level up kematangan intelek dan peribadi. Sediakan diri sebagai suami atau isteri sebelum mula mencari.
Kurangkan tonton cerita romantik, sebab susah untuk jumpa skrip yang ikhlas ditulis untuk mendidik tentang cinta dalam perspektif Islam. Sebaliknya, luangkan masa pada eksplorasi melalui pembacaan dan syarahan [1].
5. Kalau sedang bercinta
Cinta, dalam Islam, bukan untuk seronok yang saja-saja. Cinta adalah komitmen dewasa. Komitmen agama.
Jadi, kalau awak dah sedia, awak kena bincang secara dead serious dengan dia. It’s either you get out, or you go all in; untuk hentikan kekotoran hati, awak kena sama ada putus dengan dia, atau nikah dengan dia secepat mungkin.
Jangan bertangguh. Lawan rasa segan. Awak kena bercakap dan berfikir macam orang yang betul-betul dewasa.
Sikap dewasa dan dead serious itu kemudian dikekalkan bila berjumpa ibu bapa.
Sebab meyakinkan ibu bapa untuk bernikah semasa belajar bukan mudah. Ia bergantung kepada kematangan penghayatan Islam mereka.
Ia akan mencabar. Percubaan awal mungkin gagal. Awak akan rasa ‘kenapalah jalan yang halal lebih susah berbanding jalan yang haram?’
Jangan biar perasaan itu buat awak putus asa.
Awak kena kuat dan berani. Cuba dapatkan sokongan orang yang mereka hormati. Teruskan ikhtiar [2].
Kongsi nasihat ini untuk tolong kawan-kawan awak. Mudah-mudahan, pertolongan itu menjadi asbab untuk Allah mudahkan urusan awak nanti. Saya doakan awak diberi kekuatan untuk memilih jalan cinta yang Dia redhai [3].
Nota:
[1] Saya tak bermaksud cerita-cerita romantik yang kita strim itu semua langsung tak berguna. Mungkin ada pengajaran di dalamnya. Cuma cerita itu biasanya ditulis mengikut kehendak (nafsu) penonton, untuk pastikan filem atau siri itu dibeli syarikat penstriman. Matlamat utama mereka bukan pendidikan. Sebab itu, lebih bermanfaat untuk belajar tentang cinta dari penulisan dan syarahan agama. Saya cadangkan mula dengan yang asas, iaitu What is Love.
[2] Untuk permulaaan, fahami dengan nasihat praktikal panel Bayyinah ini.
[3] Bercinta adalah laluan memperbaiki diri. Lihat Keluarga dan Perkahwinan adalah Aset Ibadah.