Bosan bukan sinonim malas. Kalau dah ada PhD pun, rasa bosan dalam belajar adalah cabaran yang kita lalui sebagai pejuang ilmu.
Dari pengalaman sebagai pelajar dan pensyarah, ada beberapa pendekatan taktikal yang saya gunakan untuk melawan bosan:
1. Bosan sebagai fenomena moral yang neutral
Pertama sekali, saya elak menghukum kebosanan dengan label moral.
Bukan maksudnya bosan itu tiada status moral yang baik atau buruk. Dalam setiap manusia, ada fitrah yang melihat diri sebagai agen moral; hati yang bersih rasa bersalah bila bosan melakukan ibadah.
Rasa bersalah itu menyakitkan.
Rasa sakit ini kita cuma perasan bila kita tumpu sepenuh perhatian kita ke dalam diri. Lebih kerap, ramai orang tak sempat lalui kesakitan ini secara sedar.
Sebabnya, mereka cepat-cepat lari ke hiburan, seperti penstriman cerita Korea, doomscrolling TikTok, atau perayauan minda.1Bosan berkait dengan perayauan minda atau mind wandering, di mana perhatian kita beralih ke perkara yang tak berkaitan dengan apa yang kita sedang belajar. Lihat Blondé, P., Sperduti, M., Makowski, D., & Piolino, P. (2022). Bored, distracted, and forgetful: The impact of mind wandering and boredom on memory encoding. Quarterly Journal of Experimental Psychology, 75(1), 53-69.(teks penuh)
Jadi, langkah pertama yang saya cuba ialah membenarkan diri untuk rasa kesakitan bosan.
Mata saya akan pandang ke bawah, mencari lafaz zikir yang mudah. Hati saya menahan jari dari mencapai fon atau membuka browser tab baru.
Saya elak label diri ‘jahat’ hanya sebab rasa bosan terhadap ibadah belajar. Saya tumpukan pada dimensi amali:
‘OK, aku bosan dengan apa yang aku tengah studi sekarang. Apa langkah amali yang aku boleh buat untuk lawan rasa bosan ini?’
2. Keadaan badan mempengaruhi rasa bosan
Kedua, saya ingatkan diri:
Keletihan fizikal akan mengheret masuk kepenatan spiritual.
Keletihan badan menghakis tumpuan, menggelincirkan kita ke ruang bosan. Sebabnya, bosan berlaku disebabkan kegagalan untuk melibatkan minda dan hati dalam aktiviti yang sedang dilakukan.2Lihat Eastwood, J. D., Frischen, A., Fenske, M. J., & Smilek, D. (2012). The unengaged mind: Defining boredom in terms of attention. Perspectives on Psychological Science, 7(5), 482-495.(pautan)
Ini berlaku terutamanya bila aras tenaga fizikal kita rendah. Jadi, berkait dengan poin pertama tadi, kita bosan bukan sebab kita jahat, tapi mungkin sebab kita penat.
Jadi, untuk melawan bosan, saya cuba tidur sebaik sahaja selesai solat Isyak dan tidak menggunakan jam untuk bangun. Pada siang hari, ada masanya saya amalkan qailulah.3Qailulah ialah tidur sebentar di siang hari. Lihat Tumiran, M. A., Rahman, N. N. A., Saat, R. M., Kabir, N., Zulkifli, M. Y., & Adli, D. S. H. (2018). The concept of Qailulah (midday napping) from neuroscientific and Islamic perspectives. Journal of religion and health, 57, 1363-1375.(pautan). Saya doakan suatu hari nanti masyarakat kita jadikan sunnah qailulah sebagai budaya.
Lebih kerap, saya tinggalkan meja belajar, turun ke lantai untuk lakukan push-up atau bodyweight squat. Ini membantu melalui:
- Peningkatan pemancarneuro dopamin dan serotonin. Molekul-molekul itu mengawal motivasi dan fokus.4Lihat Yagishita, S. (2020). Transient and sustained effects of dopamine and serotonin signaling in motivation‐related behavior. Psychiatry and clinical neurosciences, 74(2), 91-98.(teks penuh)
- Ransangan faktor neurotrof otak (brain-derived neurotrophic factor, BDNF). BDNF membantu pertumbuhan neuron baru dan penyusunan semula sambungan sinaps. Ini bantu otak kita belajar dan menyimpan maklumat baru.5Lihat Novkovic, T., Mittmann, T., & Manahan‐Vaughan, D. (2015). BDNF contributes to the facilitation of hippocampal synaptic plasticity and learning enabled by environmental enrichment. Hippocampus, 25(1), 1-15.(teks penuh)
3. Bermain dengan keberubahan sesi pembelajaran
Antara faktor lain yang saya cuba kawal ialah keberubahan kelajuan belajar (pace variability). Maksudnya:
- Saya lajukan diri semasa studi dari biasa untuk satu sesi ( 2X kelajuan membaca).
- Untuk sesi seterusnya, saya perlahankan semula pada sesi seterusnya (1X kelajuan).
- Kemudian lajukan lagi pada sesi berikutnya (2X kelajuan).
Selain itu, saya cuba ubah tempat belajar. Kadang-kadang, tak tahu kenapa, studi di tempat yang lebih tak selesa (sedikit bising) akan bantu saya untuk keluar dari bosan.
Saya juga cuba tukar tempoh Pomodoro sesi belajar. Ada masa setiap setengah jam, ada masa 40 minit, ada masa 20 minit.
Idea utama di sini ialah, walaupun benda yang kita perlu studi itu benda yang sama, cuba bermain dengan pembolehubah lain untuk ganggu laluan mental kita ke ruang bosan.
5. Merangka semula konteks belajar yang bosan
Satu lagi teknik yang biasanya berjaya ialah saya merangka semula aktiviti yang bosan itu kepada konteks lebih epik.
Dalam bola sepak, intensiti emosi perlawanan persahabatan berbanding perlawanan akhir Piala Dunia takkan serupa.
Walaupun dengan kesebelasan yang sama, konteks naratif atau ‘cerita’ Piala Dunia lebih epik dalam psikologi pemain dan penonton.
Kita boleh guna prinsip yang sama dalam belajar.
Bila bosan semasa belajar, cuba letakkan diri dalam konteks ‘cerita’ yang lebih besar:
‘Apa cerita perjuangan hidup aku yang beri aku semangat untuk studi subjek ini?’
Benarkan ‘cerita’ itu bermain di psikologi kita walaupun ia semi-fantasi. Misalnya, di mana konteks subjek ini membantu kita sebagai pejuang ilmu?
Saya dapati bila saya dengar, misalnya, OST Kingdom of Heaven, minda saya mampu masuk ke zon itu.6Ini mungkin sebab filem itu ada watak Salah al-Din Yusuf ibn Ayyub semasa Perang Salib. Filem itu menunjukkan Salah al-Din sebagai perwira yang bijaksana, adil dan menghargai kedamaian. Lihat Jérusalem oleh Sound Box (pautan)
Satu lagi teknik ialah pembentukan konteks pembeza (contrasting context):
- Saya bayangkan guru atau ulama’ yang saya hormati.
- Kemudian saya tanya diri dengan soalan-soalan seperti:
‘Kau rasa sekali dua ke ulama’ itu ulangkaji ilmu yang dia kuasai?’
‘Kalau dia ada di sebelah kau sekarang, apa yang dia akan kata pada kau?’
‘Apa yang kau boleh buat sekarang untuk sambung perjuangan dia?
Perbezaan atau contrast antara kita dan mereka akan buat kita rasa macam loser kalau kita bosan dan berhenti.
Teknik ini perlu diamalkan secara berhati-hati. Kita tak nak masuk ke ruang putus harapan (aku memang loser yang bukan macam diorang, jadi buat apa nak terus cuba belajar?).
Sebaliknya, pembezaan ini adalah untuk penuhkan hati dengan rasa sayang dan tanggungjawab untuk meneruskan legasi jihad mereka.
Ingat, ulama’ hebat itu pun dulu juga adalah pelajar macam kita sekarang.
Bonus: Penggunaan supplemen semasa belajar
Di barat, penggunaan bahan kimia untuk meningkatkan fokus belajar agak berleluasa.7 Lihat Dangers of “Study Drug” Abuse in College oleh Alyssa Hill (pautan).
Di Malaysia, sasaran bisnes makanan tambahan yang guna perkataan ‘IQ’ atau ‘Minda’ adalah ibu bapa.
Peniaga menggunakan pelbagai teknik pemasaran bagi suplemen berkenaan.
Misalnya, mereka masukkan bunyi Islamik atau saintifik, sampai ibu bapa rasa bersalah kalau suplemen itu tak dibelikan.
Saya faham tarikan itu. Ada saat-saat terdesak yang kita rasa kita nak beli, misalnya masa kita tertekan bila biasiswa nak habis masa tengah buat PhD.
Cuma dengan mendalami sumber saintifik, saya sedari sesuatu yang penting: bahan peningkat prestasi (performance enhancers) hanya betul-betul bermanfaat untuk top 1-5% of elite performers.
Mereka ialah orang yang memiliki kelebihan genetik, disiplin diet, dan regimen pembelajaran sistematik yang dioptimumkan, yang sangat ‘sempurna’ berbanding kita semua.
Untuk kita, nisbah kelebihan vs risiko kesihatan jangka panjang penggunaan suplemen adalah merugikan.
Sebab supplement is not replacement. Kalau sistem belajar saya tak teratur, kalau diet saya kotor, kalau saya tak bersenam dan tak jaga tidur, sistem tubuh saya takkan optimum untuk manfaatkan performance enhancers.
Duit kita beli suplemen habis macam itu sahaja.
Untuk saya dan 95% pelajar di dunia, mengoptimumkan aspek asas fizikal lebih dari cukup untuk tingkatkan prestasi mental kita ke aras seterusnya.
Penutup
Semua yang saya kongsi ini bukan teknik rahsia yang sentiasa berjaya sepanjang masa.
Saya kongsi semua ini dengan doa supaya ia mencetus idea yang membantu pejuang ilmu lain.
Sebab saya tahu, ruang bosan itu adalah sudut gelap yang selalu ada bila kita cuba buat kebaikan.
Jangan rasa bersalah bila terjatuh ke ruang itu. Dan lebih penting, jangan biar diri terlalu lama di dalamnya.
Nota:
- 1Bosan berkait dengan perayauan minda atau mind wandering, di mana perhatian kita beralih ke perkara yang tak berkaitan dengan apa yang kita sedang belajar. Lihat Blondé, P., Sperduti, M., Makowski, D., & Piolino, P. (2022). Bored, distracted, and forgetful: The impact of mind wandering and boredom on memory encoding. Quarterly Journal of Experimental Psychology, 75(1), 53-69.(teks penuh)
- 2Lihat Eastwood, J. D., Frischen, A., Fenske, M. J., & Smilek, D. (2012). The unengaged mind: Defining boredom in terms of attention. Perspectives on Psychological Science, 7(5), 482-495.(pautan)
- 3Qailulah ialah tidur sebentar di siang hari. Lihat Tumiran, M. A., Rahman, N. N. A., Saat, R. M., Kabir, N., Zulkifli, M. Y., & Adli, D. S. H. (2018). The concept of Qailulah (midday napping) from neuroscientific and Islamic perspectives. Journal of religion and health, 57, 1363-1375.(pautan). Saya doakan suatu hari nanti masyarakat kita jadikan sunnah qailulah sebagai budaya.
- 4Lihat Yagishita, S. (2020). Transient and sustained effects of dopamine and serotonin signaling in motivation‐related behavior. Psychiatry and clinical neurosciences, 74(2), 91-98.(teks penuh)
- 5Lihat Novkovic, T., Mittmann, T., & Manahan‐Vaughan, D. (2015). BDNF contributes to the facilitation of hippocampal synaptic plasticity and learning enabled by environmental enrichment. Hippocampus, 25(1), 1-15.(teks penuh)
- 6Ini mungkin sebab filem itu ada watak Salah al-Din Yusuf ibn Ayyub semasa Perang Salib. Filem itu menunjukkan Salah al-Din sebagai perwira yang bijaksana, adil dan menghargai kedamaian. Lihat Jérusalem oleh Sound Box (pautan)
- 7Lihat Dangers of “Study Drug” Abuse in College oleh Alyssa Hill (pautan)