Dia tak mahu ada keluarga, “Aku akan menjauhi wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya.”
Macam dua orang sahabatnya, pemuda dalam hadith tersebut tengah berkobar [1]. Mereka baru lepas dengar betapa hebatnya ibadah Baginda. Pemuda itu rasa, berkahwin dan berkeluarga akan menjejaskan ibadahnya.
Dalam konteks zaman kita pun, alergi pada perkahwinan itu bukan asing. Ini dibayangkan oleh jumlah perkahwinan global yang menurun [2].
Betul, bukan semua orang ditakdirkan berkahwin. Malah ramai ulama’ tidak berkahwin hingga ke akhir hayat mereka [3]. Tidak berkahwin dan berkeluarga bukanlah suatu kegagalan.
Cuma isu akan timbul kalau kita menganggap keluarga dan perkahwinan itu penghalang kejayaan atau liabiliti dalam beribadah. Itu salah. Pada akhir nas itu, pemuda tersebut ditegur Rasulullah ﷺ.
Baginda mengingatkan dia (dan kita secara tak langsung) yang Baginda sendiri pun berkeluarga. Dan tiada manusia yang lebih sempurna dari segi ibadah dan kejayaan hidup berbanding Baginda.
Keluarga dan Spiritualiti
Pandangan pemuda itu sedikit terbabas kerana kefahaman konsep ibadahnya yang terbatas. Realitinya, keluarga adalah aset perjalanan spiritualiti yang utama:
1. Keluarga adalah pintu keluar Ananiyyah
Ananiyyah atau egotisme ialah meletakkan diri sebagai paksi putaran dunia. Ia penghalang bagi seluruh diri merasai kehebatan Tuhan dalam sebenar-benar makna cinta.
Misalnya, bila kehebatan itu diberi pada orang lain, kita rasa cemburu, “Itu bukan aku“. Bila kehebatan itu telihat pada diri, kita rasa riya’, sebab rasa “Aku memang layak”. Tuhan sentiasa dikeluarkan dari formula kesyukuran.
Berkeluarga adalah antara pintu keluar dari paksi ‘aku‘.
Bila ada suami atau isteri, hati kita perlahan-lahan mengurangkan fokus pada diri. Naluri insani memudahkan kita mengutamakan orang lain bila orang lain itu adalah keluarga sendiri.
Bila berjaya, pintu aras seterusnya akan terbuka. Hati berpeluang melihat orang di luar nukleus keluarga kita sebagai ‘saudara’: saudara seagama, saudara senegara, saudara kemanusiaan.
Ini membezakan iman waliNya dengan iman orang biasa. Sebab Cinta pada yang Satu takkan sempurna selagi hati kita tak melihat semua manusia seperti keluarga.
2. Keluarga adalah medan latihan kesabaran
Sabar bukan semestinya pasif. Sabar adalah suhu yang tenang dalam hati, walau betapa panas pun cuaca sesuatu situasi.
Dari realiti sabar itu, seseorang bertindak mengikut apa yang perlu. Kalau diam itu terbaik, dia akan diam. Kalau melawan itu terbaik, dia akan melawan tanpa hilang kawalan.
Tuhan akan gunakan keluarga sebagai medan latihan untuk perkasakan kesabaran.
Sebabnya, mana sama bila famili sendiri yang menyakitkan hati berbanding orang luar. Kesannya lebih kuat, sebab kita sayang mereka. Atau sekurang-kurangnya, kita peduli apa yang mereka kata.
Selain itu, bila keluarga kita teguh rohaninya, mereka takkan lari setiap kali kita hilang kawalan dan melakukan kesilapan. Itu beri kita motivasi untuk belajar mengawal emosi. Sebab mereka tak putus asa dengan kegagalan kita.
Kualiti sabar yang terbina dari medan keluarga itu nanti akan menjadi magnet yang menarik insan lain kepada Kebenaran [4].
3. Keluarga adalah pembakar Jihad untuk memperbaiki diri
Jihad adalah pertempuran catur dengan diri sendiri. Pada setiap masa, kita bermonolog dalam hati. Dalam monolog itu, setiap faktor dimasukkan dalam perkiraan untuk menentukan keputusan gerakan.
Dan seperti pergelutan catur sebenar, fasa kalkulatif ini tidak bebas dari pengaruh psikologi.
Misalnya, orang merokok bukanlah sebab dia rasa memang logik untuk musnahkan diri. Cuma percaturan logik itu ditewaskan ketagihan. Dan setiap ketagihan mempunyai komponen emosi, fisiologi, dan rohani.
Dalam Jihad memperbaiki diri, keluarga perlu dijadikan aset percaturan.
Kalau seorang lelaki diberitahu merokok merosakkan paru-paru sendiri, ia mungkin tak cukup untuk mendorongnya keluar dari ketagihan.
Tapi, kalau diberitahu yang merokok mencacatkan DNA sperma, merisikokan anak mendapat kanser, dia mungkin tersentap [5].
Sebab fisiologinya dipaksa menghadap perasaan sayang kepada anak isteri, perasaan yang lebih kuat dari sayang dia pada diri sendiri.
Itu akan menyalakan percikan semangat jihadnya untuk berhenti.
Meluaskan kefahaman konsep ibadah
Tiga contoh di atas hanyalah cebisan dari manfaat keluarga dalam perjalanan spiritualiti.
Prinsipnya, keluasan makna ibadah perlu diresapkan ke dalam hati. Bila kompas kefahaman itu dibetulkan, kita akan menghargai keluarga dan perkahwinan.
Bagi yang belum berkahwin, kefahaman itu mungkin membina keberaniannya untuk berumahtangga.
Bagi yang sudah berkahwin, setiap kali ego melabel ahli keluarga sebagai beban, kefahaman ini akan menyedarkan hati: keluarga kita adalah nikmat terbesar yang Dia kurniakan dalam perjalanan kerohanian.
Nota:
[1] Anas bin Malik menceritakan tiga sahabat yang mendengar kehebatan ibadah Rasulullah ﷺ. Lelaki pertama mahu bersolat sepanjang malam tanpa tidur. Lelaki kedua mahu berpuasa tanpa berbuka. Lelaki ketiga mahu menjauhi perempuan dan tidak berkahwin selama-lamanya. Rasulullah ﷺ memberitahu mereka yang Baginda juga tidur, berbuka, dan berkahwin; meninggalkan sunnah-sunnah itu bukanlah dari ajaran Baginda. Lihat Sahih al-Bukhari 5063 (teks asal).
[2] Menurut data global statistik perkahwinan yang diulas oleh CompareCamp. Data asal dari laporan Families in a Changing World 2019-2020 oleh UN Women.
[3] Antaranya Imam al-Nawawī (sarjana Hadith dan mazhab Shafi’i), dan Shaykhah Umm al-Sa’ad (sarjana permaisuri qira’at al-Qur’an).
[4] Kualiti karakter yang menarik insan pada Islam ialah kesabaran kita terhadap tindakan buruk orang lain: “Dan tidaklah sama (kesannya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” [al-Fussilat 41:34]
[5] Ayah yang merokok boleh mengakibatkan anak dapat leukaemia dan lymphoma, walaupun ibunya tak merokok. Lihat Ji, B. T., Shu, X. O., Zheng, W., Ying, D. M., Linet, M. S., Wacholder, S., … & Jin, F. (1997). Paternal cigarette smoking and the risk of childhood cancer among offspring of nonsmoking mothers. Journal of the National Cancer Institute, 89(3), 238-243. (teks penuh)