Menulis pandangan peribadi sebenarnya menakutkan. Ia perasaan yang sama bila kita elak menjawab soalan di dewan kuliah atau memberi pendapat di depan orang ramai. Kita takut kelemahan diri disedari.
Takut salah. Takut disalahfahami. Takut malu.
Tapi, dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan rapat, saya beranikan diri memulakan projek penulisan ini beberapa tahun lalu.
Ada tiga kebaikan bila kita menentang rasa takut untuk menulis:
1. Menulis adalah medan pendidikan diri
Idea bermanfaat jarang datang secara tersusun. Ia biasanya terpecah-pecah dan bersepah di atas dimensi masa. Bila menulis, kita mengambil setiap pecahan, kemudian mengatur semuanya secara koheren, memungkinkan idea itu diamalkan.
Proses ini menajamkan intelek dari dua segi:
- Kritis, dalam menentukan pecahan idea mana yang nak diambil, yang mana perlu ditinggalkan; dan dalam proses bertanyakan diri “Kenapa pendapat itu aku tolak, pendapat ini aku pertahankan.”
- Kreatif, dalam mengatur pecahan-pecahan idea ke suatu bentuk yang koheren. Kita akan didorong melihat sesuatu dari perspektif baru, atau mencantumkan idea yang sama dari sudut berbeza.
Untuk manfaat ini, kita tak perlu kongsi tulisan kita kalau tak mahu. Mulakanlah jurnal peribadi.
Tulislah untuk diri sendiri.
2. Menulis meluaskan eksplorasi bahasa ilmu
Menulis membawa minda dan hati menjelajahi diri, memeriksa kesan dari apa yang kita baca dan dengar dari setiap pengalaman yang kita lalui.
Misalnya, sebagai pelajar sains, pendidikan formal yang saya lalui sangat mengutamakan Bahasa Inggeris. Untuk berjaya dalam ekosistem akademik itu, kita dilatih secara intensif, tahun demi tahun, untuk mencari ilmu dalam bahasa itu.
Kemudian, setelah belajar di peringkat yang tinggi, saya sedari yang suasana bahasa ilmu itu ada kesannya pada hati.
Bukan maksudnya saya anti bahasa asing. Bahasa Inggeris pun milik saya sebagai anggota komuniti antarabangsa, seperti Bahasa Melayu itu milik semua warga Malaysia.
Cuma kalau kita selalu guna Bahasa Inggeris untuk aktiviti intelektual, dan Bahasa Melayu (atau Mandarin, Tamil) untuk bersembang pasar, bahasa mana yang hati kita akan letak, perlahan-lahan, sebagai bahasa ilmu?
Jadi tak mengejutkan, bila membaca tulisan ilmiah dalam Bahasa Inggeris, sebahagian kita akan rasa bunyinya ‘sedap’. Tapi bila tulisan itu dalam bahasa ibunda, kita rasa bunyinya ‘skema’, bosan dan agak kelakar.
Tuhan jadikan kita sebagai orang Malaysia bukan sia-sia. Kita boleh beri sesuatu yang istimewa kepada dunia, sesuatu yang negara lain tak ada. Dan itu hanya berlaku sepenuhnya bila kita hargai dan selesa dengan keunikan identiti kita, termasuklah elemen bahasa.
Saya harap, dengan selalu menulis sesuatu yang bermanfaat dalam Bahasa Melayu, saya akan menyelesakan diri dengan keindahannya sebagai bahasa ilmu.
3. Menulis itu ruang memberi dan peluang menemui
Saya seronok setiap kali dapat berbual dengan orang yang saya jumpa. Setiap orang ada perspektif yang sangat istimewa yang kita tak perasan dalam perbualan pertama.
Cuma, bagi individu ekstrovert [1], tenaga emosi mereka bertambah bila dikelilingi orang lain. Sebaliknya, tapi tenaga emosi itu menurun dalam orang seperti saya.
Kadang-kadang saya cemburu dengan orang ekstrovert. Mereka boleh bersembang dan berkongsi ilmu dengan sangat lama. Saya pula cepat sangat ‘penat’, dan kena lari menyendiri untuk tenaga itu dicas semula.
Menulis, bagi individu introvert, adalah arena utama pencarian manfaat ukhwah dalam berilmu [2].
Dengan memberi ruang untuk orang lain membaca fikiran kita tentang sesuatu, ia membuka peluang menemui mereka yang berkongsi fikrah yang sama. Dan dari situ, inshaAllah akan terbentuknya persahabatan dan komuniti yang ikatannya adalah ilmu.
Nota:
[1] Perwatakan kita seperti extraversion dipengaruhi kombinasi faktor genetik (poligenik). Lihat van den Berg, S. M., de Moor, M. H., Verweij, K. J., Krueger, R. F., Luciano, M., Vasquez, A. A., … & Hansell, N. K. (2016). Meta-analysis of genome-wide association studies for extraversion: findings from the genetics of personality consortium. Behavior genetics, 46(2), 170-182. (Teks penuh).
[2] Ini bukan bermaksud orang introvert tak perlu cabar diri untuk meletakkan diri dalam situasi sosial. Dari pengalaman, saya dapati banyak kebaikan bila kita lawan rasa ‘penat emosi’, bila kita berbual rapat dengan orang lain untuk mencari peluang memperbaiki diri.
PS Saya tulis versi Inggeris artikel ini di sini.