Pernah sekali, masa penat belajar, saya lalui pengalaman yang buat saya senyum seorang diri.
Saya sedang studi untuk mengajar tentang ekologi. Sesiapa yang berpengalaman membentangkan topik saintifik akan faham banyaknya persiapan yang diperlukan.
Umumnya, untuk pembentangan berkualiti, setiap 1 jam pembentangan memerlukan 5-10 jam persiapan, bergantung pada kerumitan bahan yang dibentangkan.
Pada suatu peringkat, emosi saya penat. Jadi apa yang saya buat?
Seperti orang-orang ‘rajin’ yang lain, saya merayau di YouTube.
Bila emosi penat, kita hilang minat pada benda yang kita buat, tak kisahlah betapa penting pun benda itu.
Hati meronta meminta minda mencari benda yang baru — tak pedulilah apa benda yang baru itu, asalkan baru.
Dan video pertama yang saya klik ialah animasi huraian al-Quran. Hati saya kata, ‘Tak kisahlah tentang apa, sekurang-kurangnya bukan lagi tentang ekologi’.
Rupa-rupanya, ayat yang dihuraikan dalam video itu ialah tentang mengingati kesempurnaan Tuhan melalui ciptaanNya dalam ekologi [1].
Saya senyum. Kebetulan seperti itu mengingatkan saya yang Dia tahu apa yang berlaku dalam hati kita [2].
Sebab saya belajar untuk beri perhatian pada ‘kebetulan’. Dalam pandangan alam (Weltanschauung) yang tidak bertuhan, ‘kebetulan’ hanyalah benda rawak yang tiada makna. Tapi pada saya tidak, sebab Tuhan tak wujudkan setiap detik secara tak sengaja [3].
TaufikNya selalu tersembunyi, seperti bebenang yang menghubungkan helaian fabrik: kita boleh tengok baju yang sama setiap hari, tapi tak perasan benang yang menghubungkan setiap bahagian pakaian.
Mungkin, antara sebab kita bosan ialah kita lupa yang belajar itu lebih dari hanya tanggungjawab. Ia bukan cuma untuk kerja atau peperiksaan. Belajar adalah zikir, salah satu cara mengingati tanda kekuasaanNya pada setiap penjuru kehidupan [4].
Pemulihan taktikal bila penat belajar
Tetapi ada masanya, walaupun kita ingat yang belajar itu zikir, kita masih boleh penat. Dan nasihat yang paling biasa diberikan ialah ‘pergi rehat sekejap’.
Saya manfaatkan nasihat umum itu melalui prinsip pemulihan taktikal. Maksudnya, rehat kita bukan rehat saja-saja untuk seronok. Rehat kita adalah satu taktik pemulihan yang ada sasaran. Sasaran umumnya ada tiga:
- Pulihkan tenaga dalam tempoh minimum.
- Aktiviti rehat itu tak menambah penat.
- Cari cara ‘buang masa’ yang paling bermanfaat.
Jadi tak ada satu teknik yang saya saya guna sepanjang masa. Yang penting saya ingatkan diri tentang tiga sasaran itu. Misalnya, saya tumpu pada tiga perkara:
1. Nilaikan keadaan badan bila penat perasaan
Bila penat belajar, langkah pertama ialah buat diagnosis tentang keadaan tubuh badan.
Cukup tak tidur kita semalam? Mungkin apa yang kita perlu ialah qailulah [5]. Cuba tidur dalam 20-30 minit. Optimumkan dengan cara dan tempoh qailulah yang berbeza. Dapatkan tempoh pemulihan minimum.
Atau, mungkin kita mengalami dehidrasi yang mempengaruhi mood dan kemampuan kognitif [6], dan cuma perlu minum air lebih kerap. Sediakan gelas berisi air masak dan hirisan lemon di meja.
Semasa diagnosis diri, cuba lihat dua contoh isu itu dan isu-isu lain. Rasa malas bukan semestinya masalah sikap atau lemah iman. Ada masanya ia cuma kesan fisiologi tubuh yang keletihan.
Bila isu fisiologi itu diselesaikan, motivasi belajar mungkin dapat dipulihkan.
2. Risiko ‘berehat’ dengan media sosial
Bila penat belajar, antara tarikan paling kuat ialah memulakan aktiviti baru dengan ‘berehat’ di media sosial.
Risikonya ialah ketagihan. Minda kita akan membina momentum untuk aktiviti baru itu. Ia kemudian mempengaruhi corak minda kita memproses maklumat, melemahkan kemampuan berfikir aras tinggi [7].
Sesi ‘rehat’ itu akhirnya nanti buat kita rasa lebih penat dari sebelumnya.
Mungkin ada yang tak setuju kalau kita kata langsung tak boleh. Kalau betul awak dapat manfaat motivasi belajar dari media sosial, dan awak rasa lebih segar dengan cara itu, awak patut teruskan.
Cuma ada masanya kita mula dengan, ‘Okey, aku nak bukak TikTok lima minit je. Nanti sambung studi balik’. Tapi sejam kemudian, ‘Eh video apa ni? Bila aku bukak YouTube? Macam mana aku sampai kat sini?’
Kalau itu adalah kebiasaan, baik langsung jangan mulakan.
3. Rehat sebagai ibadah
Pilih alternatif lain yang betul-betul merehatkan. Selain qailulah, cuba tinggalkan tempat belajar. Ruang psikologi dipengaruhi ruang persekitaran. Jadi ada masanya memang perlu keluar.
Ambil wudhu dan duduk di tempat yang senyap, berzikir, mungkin dengar bacaan al-Quran, atau berjalan di tempat yang mata kita nampak tumbuhan.
Atau mungkin aras rohani kita belum sampai ke situ. Sebaliknya, kita buat aktiviti rehat lain yang buang masa. Itu buat kita rasa bersalah.
Jangan putus asa. Kita manusia. Yang penting kita sedar aktiviti itu buang masa. Cuba:
- Pendekkan tempoh buang masa itu. Letak pemasa. Minta kawan, ahli keluarga atau mentor untuk tolong berhentikan kita bila kita langgar tempoh masa yang kita letak.
- Secara aktif, cari alternatif pada aktiviti itu yang mungkin masih buang masa, tapi 1% lebih bermanfaat, atau 1% kurang mudarat pada rohani kita.
Bila kembali ke meja belajar, kecilkan sesi studi. Kalau 30 minit terlalu lama, cuba 20 minit, atau mungkin hanya 10 minit — fokus seluruh diri untuk 10 minit. Kemudian berehat, kemudian buat lagi 10 minit.
Bila berjaya, naikkan jadi 15 minit, kemudian naikkan lagi. Bina daya tahan itu dari tahap terkecil yang kita mampu.
Paling penting, jangan marah diri bila rasa bosan atau penat belajar. Jangan label diri ‘pemalas’; kita tak nak label yang kita beri pada diri itu menjadi doa.
Teruskan memujuk hati untuk cari bagaimana topik yang kita studi mengingatkan diri kepada Tuhan — benang zikir yang menghubungkan fabrik ilmu dan kehidupan.
Nota:
[1] Video itu ialah The Perfection of Allah oleh Darul Arqam Studio, kumpulan juruanimasi dan pengilustrasi dari Jakarta. Sokonglah mereka melalui sumbangan Patreon.
Dalam video itu, mereka mengilustrasi petikan ceramah Nouman Ali Khan, pengasas Bayyinah TV, di mana dia menghuraikan kesalingkaitan antara komponen ekologi sebagai tanda keagungan Ilahi. Sokonglah Bayyinah melalui langganan.
[2] Lihat Surah al-Mulk [67:13]: ‘Dan sembunyikanlah kata-katamu atau nyatakanlah (dengan jelas); sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui apa yang terkandung di dalam dada.’
[3] Itu antara isi penting yang saya belajar dari Kalām:
[4] Surah al-Fuṣṣilat [41:53]: ‘Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segenap penjuru ciptaan dan pada diri mereka sendiri bahawa ini adalah Kebenaran (al-Ḥaqq).’ Saya selalu malas. Tapi, ada masanya saya sangat bersemangat untuk studi bila ‘terlihat’ tanda-tanda yang disebut ayat ini. Itu juga sebab utama hati saya tergerak menulis di laman web peribadi.
[5] Qailulah ialah amalan sunnah tidur sekejap di siang hari. Lihat Tumiran, M. A., Rahman, N. N. A., Saat, R. M., Kabir, N., Zulkifli, M. Y., & Adli, D. S. H. (2018). The concept of qailulah (midday napping) from neuroscientific and Islamic perspectives. Journal of religion and health, 57(4), 1363-1375. (Teks penuh).
[6] Dehidrasi boleh memperlahankan operasi kognitif (seperti gerak balas) dan mood. Misalnya, lihat Sittlington, J. J., Magee, P. J., & Simpson, E. E. A. (2017). Effect of mild dehydration on cognitive function, mood and exercise performance. Proceedings of the Nutrition Society, 76(OCE2). Kesan pada mood kurang konsisten (mungkin sebab terdapat pembolehubah lain yang sukar dikawal).
[7] Ramai tak perasan yang kesan psikologi menatal (scrolling) adalah hampir sama dengan kesan bermain mesin slot di kasino.Lihat artikel dan video dari Hospital McLean The Social Dilemma: Social Media and Your Mental Health.