Bukanlah seseorang itu pengamal tasawwuf, sehinggalah dia menganggap semua manusia sebagai keluarganya sendiri.
Abu Bakr al-Shibli
Beratus-ratus ulama’ dari lebih 120 negara telah berkumpul di Maghribi untuk suatu pesidangan bersejarah. Dalam persidangan itu, Pengisytiharan Marrakesh diumumkan [1].
Pengisytiharan ini menyentuh hati Muslim, kerana ia adalah pembaharuan ikrar sebuah ummah; ikrar yang diinspirasikan dan meraikan ulangtahun ke-1400 Sahifah Madinah, antara perjanjian terpenting dalam falsafah politik Islam hingga ke hari ini.
Perjanjian yang dibentuk di hadapan Rasulullah ﷺ sendiri.
Kandungan Pengisytiharan Marrakesh
1. Seluruh Ummah
Berbanding Mesej Amman yang mengasihi pemegang 8 mazhab dalam dunia Islam sendiri [2], Pengisytiharan Marrakesh meluaskan nilai rahmah Islami kepada minoriti bukan Muslim, dengan satu ikrar umum:
Membantah penggunaan agama untuk menindas hak minoriti bukan Muslim di negara Muslim.
(Affirm that it is unconscionable to employ religion for the purpose of aggressing upon the rights of religious minorities in Muslim countries.)
Ikrar ini disokong enam gesaan yang lebih spesifik kepada:
2. Ulama’
Membangunkan prinsip fiqh kewargaan yang inklusif.
Cabaran mereka ialah mencerahkan prinsip fiqh tersebut kepada orang awam, terutamanya bila ijtihad mereka berbeza dengan pandangan konservatif semasa.
Ketika membaca sokongan Shaykh Hamza Yusuf terhadap Dr Larycia Hawkins bahawa Muslim dan Kristian menyembah Tuhan yang sama, saya sedar yang cabaran ini juga dilalui sarjana agama lain (Dr Hawkins digantung kerja disebabkan pernyataannya).
Orang awam, didorong rasa sayang kepada agama, biasanya menentang secara reaktif pandangan yang di luar kebiasaan mereka.
Sebab aplikasi Usul Fiqh mungkin boleh mudah pada peringkat individu, tapi ia boleh menjadi sangat rumit pada peringkat masyarakat. Ia tidak dapat lari dari metodologi falsafah yang teknikal, yang sukar dihargai oleh mereka yang tidak terlatih dalam disiplin ilmu itu.
Doakan agar Allah memberi kesabaran dan kekuatan kepada para ulama’ Malaysia.
3. Institusi Pendidikan
Melakukan pengkajian semula yang berani (courageous review) ke atas kurikulum mereka bagi mengesan unsur ektrimisme.
Sesebuah institusi, dari sekolah agama pondok hinggalah ke universiti, akan membina tradisi dan mikro-budaya ilmu tersendiri yang diwarisi berdekad-dekad lamanya.
Jadi mereka kadang-kadang tak nampak elemen ekstrim dalam kurikulum mereka, sebab dah terlalu terbiasa. Mereka memerlukan input generasi muda atau pakar dari luar institusi mereka.
4. Ahli politik
Memberi dukungan perundangan dan politik dalam mengutuhkan hubungan penganut pelbagai agama.
Cabaran mereka ialah menjelaskan sesuatu polisi kepada orang awam, terutamanya bila polisi itu mencabar kelebihan majoriti Muslim. Ia akan susah diterima.
Ya, ini cabaran yang hampir sama dengan ulama’, kerana kedua-duanya adalah pemimpin dalam arena masing-masing. Dan kalau kuasa ulama’ adalah lebih teoretikal, kuasa ahli politik adalah lebih praktikal, kerana mereka mempunyai instrumen perundangan dan kewangan negara.
Disebabkan itu, ahli politik perlu (lebih dari para ulama’) meluangkan masa mensucikan niat dan hati, supaya mereka lebih berani menggerakkan polisi yang merisikokan kehilangan undi.
5. Golongan terpelajar, artistik dan kreatif
Melaksanakan gerakan membantu penganut agama minoriti memahami hak dan mendapat layanan adil.
Dalam demokrasi, luahan minoriti sering tenggelam dalam gelombang suara majoriti. Peranan golongan berpendidikan Muslim ialah menguatkan suara minoriti untuk mendapatkan keadilan.
Ini dilakukan melalui medium jurnalistik atau kreatif, seperti penulisan, muzik atau perfileman.
Cabaran mereka ialah, disebabkan kepakaran fiqh dan kuasa politik yang terhad, pendekatan bukan konservatif mereka lebih terdedah kepada serangan kritikan.
Kritikan itu biasanya bukan terhadap merit isu yang dibentangkan (rasisme, interpretasi Islam yang terlampau), tapi terhadap kelemahan pendekatan (elemen persembahan yang melanggar pendapat fiqh atau sensitiviti tradisi).
Tiada pilihan lain, mereka memerlukan sokongan para ulama’ dan ahli politik.
6. Gerakan-gerakan agama
Mengubati amnesia terpilih tentang sejarah hubungan antara agama.
Ada masanya pemimpin gerakan Islam suka mengulang-ulang kisah sejarah tentang betapa “jahatnya” penganut agama lain. Bukan semestinya sebab ada niat yang tidak baik. Cuma ia kebiasaan tanpa sedar, yang menggunakan pendekatan “kita lawan mereka” untuk memupuk semangat solidariti di kalangan ahli.
Pengisytiharan Marrakesh mengajak gerakan Islam meraikan dan menghidupkan semula rasa saling mempercayai antara agama (reviving this tradition of conviviality, and restoring our shared trust), dengan suluhan sejarah toleransi seperti di Andalusia.
6. Wakil semua agama
Menentang penghinaan terhadap segala yang dianggap mulia oleh agama lain.
Dalam negara majoriti Muslim, pernyataan yang menghina Islam akan mudah dikritik. Tapi dengan keselesaan majoriti yang dimiliki, Muslim sendiri berisiko memperkatakan tentang agama lain secara tidak adil.
Ini sukar disedari, sebab bila kita rasa kita “di pihak yang benar”, kita tak perasan yang kita menzalimi pihak yang lain.
Jadi kalau kita geram, misalnya, bila mendengar bekas-Muslim di luar negara menghina Islam, mungkin di negara kita, kita perlu lebih teliti dari membiarkan bekas-Hindu mencela Hinduisme, dan bekas-Kristian memburukkan Kristianiti.
Bukan hanya atas dasar ihsan sesama insan; tetapi untuk menyempurnakan tuntutan al-Quran (6:108).
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Seperti Sahifah Madinah, Pengisytiharan Marrakesh bukan hanya janji kita kepada bukan Muslim; ia janji kita kepada Baginda sendiri.
Dan dari kaca mata sufi seperti al-Shibli, ini perjalanan penyucian hati, perjalanan yang tidak akan sempurna hinggalah hati seseorang itu “menganggap semua manusia sebagai keluarganya sendiri.”
Nota:
[1] Nama penuh pengisytiharan ini ialah “The Rights of Religious Minorities in Predominantly Muslim Lands: Legal Framework and a Call to Action”. Kandungan lengkapnya boleh dibaca di sini.
[2] Lihat Mesej Amman. Mesej ini mengakui: 1)penganut mazhab Hanafi, Maliki, Shafi’i, Hanbali, Ja’fari, Zaydi, Ibadi dan Thahiri sebagai Muslim; 2) Persamaan antara mazhab lebih banyak dari perbezaannya; dan 3) Autoriti dalam ijtihad dan penentuan fatwa perlu bersandarkan kaedah dari mazhab-mazhab tersebut. Lihat teks lengkap tiga isi utama tersebut.