Seringkali bila berbual dengan pelajar universiti, saya sedari yang ramai masih tak pasti pilihan kerjaya mereka selepas graduasi nanti.
Itu bukan sesuatu yang luar biasa. Pelajar diberi banyak beban studi. Bila sibuk dengan tugasan, susah untuk fikirkan masa depan, tak kiralah sepenting mana pun isu itu nanti.
Sebenarnya, mustahil untuk pensyarah berkongsi nasihat yang tepat untuk semua pelajar secara umum. Sebabnya, pilihan untuk sambung belajar atau bekerja sangat bergantung pada kombinasi peluang dan personaliti peribadi.
Ini persimpangan dalam perjalanan dewasa. Suka atau tidak, pelajar memang kena tentukan sendiri.
Walaupun begitu, mungkin satu dari sepuluh idea umum ini akan membantu:
1. Mulakan secepat mungkin
Jangan tunggu tulisan di awan untuk beri kita jawapan. Lepas solat Subuh esok pagi, buka buku nota. Conteng idea tentang masa depan yang kita mahukan. Tak apa kalau tak sempurna, asalkan proses itu dimulakan.
Pencarian kerjaya yang sesuai dengan diri akan mengambil masa. Sebab ia memerlukan kita menjelajahi pelbagai aspek diri kita [1].
Kita perlu masa untuk bezakan apa yang kita mahu dan apa yang kita perlu; apa yang kita nak pilih berbanding apa yang orang lain nak kita pilih.
Dan kalau pun kita jumpa jawapan itu, ia mungkin memerlukan kita berhijrah ke bidang berbeza, dan peralihan itu perlukan masa.
Jadi mulakan penjelajahan itu seawal yang mampu.
2. Pecahkan pencarian pilihan kerjaya
Kita tak perlu dapat semua jawapan dalam satu sesi. Pecahkan ia kepada fragmen lebih kecil:
- Subjek apa yang aku minat sekarang? Subjek apa yang aku tak suka?
- Siapa yang aku kagum dalam hidup aku? Apa legasi mereka kepada ummah yang aku nak teruskan?
- Apa aktiviti bermanfaat yang aku minat, yang kalau orang tak bayar pun aku seronok nak buat?
Imej-imej kecil yang terhasil di minda semasa menjawab soalan sebegitu akan memberi lakaran lebih besar tentang apa yang hati kita betul-betul mahu.
Pertimbangkan juga peluang kerjaya di luar negara, sebab ada faktor yang berbeza antara dalam dan luar negara, seperti yang saya dan rakan pensyarah saya cuba ringkaskan dalam temubual ini:
3. Ada Master lagi susah dapat kerja?
Ada masanya pelajar bimbang untuk sambung pengajian, sebab mereka dengar cerita pemegang Master gagal dapat kerja bila bersaing dengan pemegang Bachelor.
Situasi itu berlaku. Tapi pengajaran yang kita perlu ambil bukan “Lebih baik tak ada pendidikan Master”.
Pengajarannya ialah “Ijazah hanya salah satu benda yang dipertimbangkan untuk dapat kerja”.
Mungkin dia mohon jawatan yang memang menyasarkan pemegang Bachelor. Mungkin majikan tak mampu membayarnya gaji Master, atau dia gagal yakinkan majikan yang dia sanggup dibayar gaji Bachelor. Mungkin kemahiran peribadinya tak setinggi ijazah Master yang dimiliki. Mungkin memang trend pasaran kerja kurang memerlukan bidangnya ketika ini.
Hidup memang selalu mengecewakan. Ijazah apa pun yang kita ada memang tak mampu beri jaminan. Cuma, menyalahkan ijazah biasanya tak akan menyelesaikan masalah. Tumpukan pada aspek diri yang lain, yang boleh kita baiki untuk bersaing pada peluang temuduga selepas ini.
Ada banyak sebab yang baik untuk tidak sambung ke pengajian Master, tapi “nanti lagi susah dapat kerja dari budak Bachelor” bukan satu daripadanya.
4. Nampak kaya bukan semestinya memang kaya
Jangan banding pelajar Master dan PhD hari ini dengan rakan sebaya mereka yang bekerja.
Gaji bekerja memang lebih tinggi dari elaun pelajar. Tapi tak semua pekerja itu sekaya yang mereka pamerkan. Ramai yang nampak kaya, bukan sebab mereka ‘terus berkerja’, tapi sebab mereka ‘terus berhutang’. Dan pelajar jarang diburu peluang oleh bank untuk ditawarkan ilusi kekayaan itu.
Jadi jangan keliru. Untuk jangka panjang, dengan memiliki pendidikan Master atau PhD, kalkulus pendapatan mereka akan jauh lebih menarik dari yang kita nampak hari ini [2].
Tapi ingat, saya sebut pendidikan, bukan hanya ijazah. Sebab ekonomi (yang sihat) bukan mengganjari kita semata-mata kerana ijazah. Ia mengganjari kualiti karakter dan pemikiran yang terbina dari pendidikan Master dan PhD itu nanti.
5. Sambung belajar bukan satu-satunya cara membina masteri
Mutiara dalam pengajian Master atau PhD tersembunyi dalam perantisan (apprenticeship) yang pelajar lalui. Jika kualiti perantisan itu tinggi, mereka akan menjadi individu yang searas lebih tinggi dari diri mereka sebelum ini, jauh berbeza dari segi pemikiran dan pembawaan diri.
Dan itu akan menjadi enjin yang melajukan perkembangan kerjaya sepanjang hidup mereka.
Tapi, perantisan bukan hanya didapati melalui universiti. Bila berpeluang, pelajar akan mendapat manfaat serupa bila berkerja dengan mentor dalam sesebuah syarikat.
Jadi, kalau memilih untuk terus bekerja, cari peluang kerjaya yang ada peluang bimbingan perantisan seperti itu nanti — walaupun gaji awalnya tak berapa tinggi.
6. Fahami yang wang itu keperluan, bukan destinasi kejayaan
Ingatkan diri yang barakah rezeki mengalir ke arah kehebatan dan keikhlasan. Dan lebih selari sesuatu pilihan kerjaya dengan jiwa kita, lebih mudah untuk kita menyentuh kehebatan dan keikhlasan itu.
Jadi fokuskan ekplorasi ke situ dulu, ke sesuatu yang selari dengan jiwa kita. Kemudian baru masukkan faktor wang dalam mengimbangi keputusan.
Wang, bila dipuja dan dikejar, memang takkan cukup. Ia seperti memandu ke masjid dengan tangki minyak yang bocor. Sebanyak mana pun minyak diisi, ia takkan kekal penuh. Betul, minyak masih perlu dicari, sebab ia adalah keperluan. Tapi bukan sampai terlupa yang masjid itu sebenarnya destinasi pemanduan.
Kod enkripsi kejayaan hanya dipecahkah selepas kita membezakan keperluan hidup dan destinasi kehidupan.
7. Kongsi eksplorasi kita dengan orang lain
Tenangkan hati dalam mencari jawapan. Proses ini boleh menemukan kita dengan aspek diri yang kita tak perasan sebelum ini.
Terus istiqamah dalam pencarian walaupun rasa berkabus untuk nampak jawapan. Diri kita sebenarnya sangat kompleks, ada banyak dimensi. Ia perlukan masa untuk difahami.
Kongsikan apa yang kita fikir dan rasa setakat ini. Kongsi dengan keluarga, kawan rapat, mentor, pensyarah, atau orang lain yang kita hormati. Cuma hati-hati. Pandangan mereka, walaupun perlu dihargai, tak boleh digunakan sebagai penentu keputusan pilihan kerjaya kita nanti.
8. Fikirkan tentang perkahwinan
Untuk yang menyambung pengajian PhD atau memulakan perniagaan, dulu saya setuju kalau mereka mahu tangguhkan perkahwinan.
Ini logiknya: komitmen kerjaya akan menyerap banyak tenaga dan masa. Jadi, perkahwinan adalah komitmen tambahan yang akan menambah tekanan kepada diri dan pasangan.
Tapi, semakin banyak saya menimba ilmu, semakin saya ragui pandangan itu.
Perkahwinan menawarkan struktur sokongan psikologi dan spiritual yang kita perlukan [3]. Pasangan dan anak juga menyalakan arka motivasi untuk seseorang berusaha lebih keras, berbanding mereka yang hanya bekerja untuk diri sendiri.
Dan kalau ada kawan yang membuat pilihan ketiga untuk menjadi surirumah, jangan perkecilkan mereka. Dunia hari ini gagal menghargai pentingnya pejuang yang memilih untuk menjaga keluarga sepenuh masa.
9. Renungi keputusan pilihan kerjaya masa lalu
Di mana kita berada hari ini adalah kesan kolektif keputusan kita dan orang lain pada masa lalu. Jadi, penting untuk kita menoleh ke belakang untuk memerhati keputusan itu:
- Macam mana aku boleh berada di bidang ini?
- Mana keputusan yang orang lain buat (mak ayah, sistem UPU), dan mana keputusan yang memang aku sendiri buat?
- Sebanyak mana yang aku fahami tentang diri aku semasa aku buat keputusan itu?
- Apa yang aku fahami sekarang tentang keputusan yang aku buat dulu?
Mungkin ada yang selesa dengan jawapan yang mereka temui. Mereka berada di landasan pilihan kerjaya yang betul. Itu akan memberi lebih keyakinan untuk mereka mara ke depan.
Mungkin ada juga yang tersedar, “Aku hari ini bukan orang yang sama dengan aku yang mengisi borang ke universiti dulu.’ Itu akan mencetus keberanian untuk memilih laluan baru.
Renungi keputusan yang membawa kita ke sini. Memahami bagaimana kita sampai ke sini akan membantu kita menentukan ke mana kita akan pergi dari sini.
10. Berdoa secara spesifik tentang pilihan kerjaya
Berdoalah, bukan hanya kerana hakikat metafizikal yang doa itu takkan sia-sia, tapi sebab dengan mengulangi permintaan dalam doa, minda sub-sedar akan beroperasi mengesan peluang yang terlintas di sekitar kita.
Doa itu juga senjata keyakinan diri Mukmin. Gunakannya untuk menewaskan idea yang menghadkan: “Aku tak pandai, aku takkan berjaya kalau sambung belajar,” atau “Aku kena sambung belajar, sebab aku takkan pergi jauh kalau terus kerja.”
Kita takkan tahu kehebatan sebenar kita hanya berdasarkan apa yang kita capai sebelum ini.
Sebabnya, untuk setiap situasi, ada banyak faktor unik yang mempengaruhi pencapaian kita pada saat itu. Variasi pada salah satu faktor itu pada masa depan akan membuka kebarangkalian baru.
Jadi berdoalah, dan gunakan semua dimensi minda dan hati dalam pencarian.
Kemudian, kuatkan hati, dan buat pilihan.
Jangan biar orang lain buatkan. Lebih baik berdepan kegagalan disebabkan pilihan kita sendiri, dari gagal sebab terlalu takut memilih, sampai orang lain yang buatkan keputusan.
Mudah-mudahan dengan melibatkan intuisi hati, minda kita akan dibantu menemui apa yang sebenarnya kita perlu, berbanding apa kita cari.
Nota:
[1] Misalnya, kita perlu bertanya pada diri, perlukah aku tentukan pilihan kerjaya ikut minat? Lihat Must You Find Your Passion? oleh pakar pembangunan kerjaya Dawn Rosenberg McKay.
[2] Secara amnya, pendidikan tinggi berkait dengan pendapatan lebih tinggi. Ini bergantung pada bidang. Untuk contoh, lihat laporan Higher Education Pays oleh College Measures. Memiliki kelayakan pengajian tinggi meningkatkan peluang pendapatan lebih tinggi di kebanyakan negara, seperti US, Malaysia , Jepun, and Afrika Selatan .
[3] Pada saya, perkahwinan adalah komitmen iman. Lihat Tentang Kerjaya, Keluarga dan Kebahagiaan.
P.S.: Saya pernah tulis tentang ini dalam Bahasa Inggeris, ‘What should I do after graduation?’