Al-Ghazali mengalami krisis yang dicetus rasa sombong.1Al-Ghazali (1056-1111) merupakan ahli Kalām dan falsafah, antara yang paling terkemuka di dunia Islam. Lihat Imam al-Ghazali: The Oceanic Imam and Shaykh oleh Shaykh Hamza Yusuf. Sebagai guru di Nizamiyyah, dia tidak pernah kalah dalam berhujah.2Nizamiyyah merupakan institusi pendidikan tinggi setaraf Harvard atau Oxford pada hari ini. Dibangunkan pada abad ke-11 oleh Nizam al-Mulk, Nizamiyah adalah antara institusi pembelajaran tinggi yang pertama di dunia Muslim. Karyanya merevolusikan kefahaman ummah, mengatasi gergasi intelek generasi sebelumnya.
Namun di puncak kariernya, al-Ghazali meletak jawatan.
Dia meninggalkan Baghdad, bersembunyi bertahun-tahun di Damsyik dan Baitulmuqaddis.
Dia menyedari yang genius mindanya menghakis ikhlas hatinya. Dia tidak lagi pasti untuk siapa dia memperjuangkan ilmu — untuk Tuhannya, atau untuk egonya.
Krisis spiritual al-Ghazali adalah pengajaran untuk setiap kita, walaupun kita tidak sepintar dia.
Kerana manik-manik ilmu sentiasa dikutip di atas rentas usia. Makin kita dewasa, makin mudah kita berjumpa dengan orang yang kurang ilmu dan pengalaman – junior kita di universiti, adik atau saudara yang lebih muda dalam keluarga kita sendiri.
Lebih banyak kita tahu, lebih agresif kita perlu menyucikan keikhlasan hati.
Sebab sombong tak terjadi sekelip mata, ia bersarang perlahan-lahan melalui bisikan yang terlalu halus untuk didengari.
Bisikan sombong semasa belajar
Untuk setiap orang, bisikan tersebut datang dalam bentuk berbeza.
Misalnya perasaan “Benda ini orang lain patutnya tahu.” Kadang-kadang, kerana sesuatu itu sangat common sense pada kita, kita anggap orang lain patut terfikir benda yang sama.
Hakikatnya, kanvas pengetahuan manusia diwarnai pengalaman yang dilaluinya, dan setiap orang yang kita jumpa akan lalui variasi pengalaman yang berbeza.
Ego cuba menutup hakikat itu, membisikkan rasa sombong. Misalnya, kita mungkin berdepan dengan orang yang:
1. Kurang pengalaman menggunakan Bahasa Inggeris.
Ego membisikkan sombong bila kita perasan dia salah tatabahasa,
“Macam mana la ayat salah yang bunyi pelik macam tu pun dia tak tahu.”
2. Kurang pengalaman menggunakan teknologi.
Ego membisikkan sombong bila dia lambat atau tak terfikir cara yang mudah,
“Lembab betul la dia ni. Copy je la yang itu ke sini. Guna je la apps yang ini. Kenapa la menyusahkan diri.”
3. Kurang pengalaman memahami agama.
Ya, agama pun boleh digunakan ego sebagai kanser sombong dalam diri,
“Dia nampak je alim. Selalu sembang agama bukan main hebat, tapi hukum Islam asas macam ni pun tak tahu nak buat.”
Sombong bukan isu rasa pandai
Betul, kalau bandingkan secara objektif, mungkin kita lebih pandai dari orang di depan kita itu. Atau, dia memang jenis malas belajar dan tak berusaha untuk ambil tahu.
Sombong bukan isu fakta objektif.
Kehebatan al-Ghazali memang secara objektifnya dipersetujui oleh sarjana sezamannya hinggalah ke hari ini.
Rasulullah menggariskan maksud Sombong (Kibr)3Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan: Rasulullah (ﷺ) bersabda, “Sesiapa yang dalam hatinya ada sombong seberat semut, dia tidak akan masuk ke dalam Jannah.” Seseorang bertanya, “Orang yang suka memakai pakaian dan kasut yang cantik?” Rasulullah (ﷺ) berkata, “Allah itu Indah, Dia mencintai keindahan. Sombong bermaksud mencemuh dan menolak Kebenaran serta menghina orang lain.” Lihat Riyad as-Salihin 611.
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Sombong adalah menolak kebenaran dan menghina manusia
Sombong bukan menolak fakta yang kita pandai. Memang Allah suruh kita belajar supaya lebih pandai.
Kalau kita belajar, tapi sama pandai dari orang yang tak belajar, kita wajib baiki teknik belajar untuk mengelak dosa membuang masa (bukan saja masa kita, malah masa pensyarah atau guru kita).
Sombong yang dimaksudkan Rasulullah ialah bila kita rasa orang yang kurang pandai itu layak dihina atau dipandang rendah.
Sombong ialah persoalan hati; persoalan tentang hubungan kita dengan Pemilik Segala Ilmu.
Sebab nikmat belajar datang dari keikhlasan mencari makna hidup dan mendekati Tuhan.4Lihat Finding Meaning in Learning.
Sombong perlu dilawan, sebab walaupun kecil, sombong akan mencalarkan keikhlasan.
Bila keikhlasan itu berjaya dilindungi, setiap sesi belajar yang pada orang lain membosankan, pada kita akan menjadi sesi yang mendinginkan hati.
Strategi melawan sombong
Mungkin kita perlu ikut strategi al-Ghazali. Mungkin suatu hari nanti kita perlu bersembunyi sebagai tukang sapu di luar negara.
Tapi, dalam konteks harian yang kurang ekstrim, ada empat langkah praktikal yang boleh dikombinasi:
1. Cuba “tangkap” setiap kali hati kita dibisikkan rasa sombong.
Ini ialah bila kita rasa orang kurang pandai itu lebih hina atau lebih rendah. Gantikannya dengan empati:
“Aku dulu pun tak pandai Bahasa Inggeris macam dia. Aku pandai sekarang pun sebab terdesak, terpaksa belajar masa duduk overseas. Kalau tak, sekarang pun aku tak pandai.”
“Dia perlahan guna komputer sebab dia belum jumpa cara yang aku guna. Lepas aku ajar dia akan okay nanti. Aku pun bukan lahir-lahir terus pandai guna AI dan digital workflow semua ni.
“Dia selalu sembang agama itu menunjukkan dia peduli Islam. Itu lebih penting. Hukum Islam asas yang dia tak tahu boleh diajar. Lebih baik macam itu dari orang yang pandai hukum fiqh tapi tak peduli Islam.”
2. Letakkan hati dalam iklim syukur.
Fahami yang setiap ilmu itu rezeki. Dan setiap rezeki ini Allah boleh tarik balik semudah Dia beri.5“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu menyatakan, ‘Jika kamu bersyukur, Aku pasti akan menambah nikmat kepadamu; tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.'” (Quran 14:7). ‘Kufur’ atau kafartum di sini bermaksud menutup atau menafikan syukur. Dalam konteks artikel ini, kita kufur bila menafikan kepandaian kita itu adalah rezeki yang Tuhan beri, bukan datang dari kehebatan kita sendiri.
Syukur, dalam konteks ini, ialah menghargai apa yang kita tahu, dan bersikap rahmah terhadap orang yang kanvasnya belum diwarnai pengetahuan itu.
3. Kelilingi hati dengan orang yang jauh lebih pandai.
Ini akan mengingatkan kedudukan kita yang lebih realistik. Kita akan sedar kita taklah sepandai mana.
Ini boleh dilakukan secara fizikal dengan mendampingi guru, pensyarah, dan ulama’, atau secara mental melalui penulisan, audio atau video yang mereka hasilkan.
4. Fahami impuls yang mencetuskan bisikan sombong dalam belajar.
Ada masanya, rasa marah terhadap ketidakpandaian orang lain hanya hadir dari insecurity diri. Renungi kembali kenapa kita tak suka seseorang.6Lihat People You Don’t Like Make You Better.
Mungkin keinginan merendahkan orang lain itu tanda masalah psikologi kita sendiri.
Penutup
Halakanlah perhatian minda kita pada memperbaiki laluan ilmu kita sendiri. Perhatian minda itu macam lampu; kalau kita terlalu sibuk menyuluh kelemahan laluan ilmu orang lain, laluan kita sendiri yang akan terbiar dalam kegelapan.
- 1Al-Ghazali (1056-1111) merupakan ahli Kalām dan falsafah, antara yang paling terkemuka di dunia Islam. Lihat Imam al-Ghazali: The Oceanic Imam and Shaykh oleh Shaykh Hamza Yusuf.
- 2Nizamiyyah merupakan institusi pendidikan tinggi setaraf Harvard atau Oxford pada hari ini. Dibangunkan pada abad ke-11 oleh Nizam al-Mulk, Nizamiyah adalah antara institusi pembelajaran tinggi yang pertama di dunia Muslim.
- 3Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan: Rasulullah (ﷺ) bersabda, “Sesiapa yang dalam hatinya ada sombong seberat semut, dia tidak akan masuk ke dalam Jannah.” Seseorang bertanya, “Orang yang suka memakai pakaian dan kasut yang cantik?” Rasulullah (ﷺ) berkata, “Allah itu Indah, Dia mencintai keindahan. Sombong bermaksud mencemuh dan menolak Kebenaran serta menghina orang lain.” Lihat Riyad as-Salihin 611.
- 4
- 5“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu menyatakan, ‘Jika kamu bersyukur, Aku pasti akan menambah nikmat kepadamu; tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.'” (Quran 14:7). ‘Kufur’ atau kafartum di sini bermaksud menutup atau menafikan syukur. Dalam konteks artikel ini, kita kufur bila menafikan kepandaian kita itu adalah rezeki yang Tuhan beri, bukan datang dari kehebatan kita sendiri.
- 6