Prof Dr Seyyed Hossein Nasr1Prof Nasr merupakan polymath yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang falsafah Islam, merangkumi lapangan metafizik, tasawuf dan sains moden. Beliau adalah guru kepada salah seorang guru saya, Prof Dr Osman Bakar, seorang tokoh Falsafah Islam negara yang terkemuka di dunia. awalnya menolak tawaran HarperOne untuk mengetuai projek The Study Quran.2Seyyed Hossein Nasr (Ketua Penyunting); Caner K. Dagli, Maria Massi Dakake, Joseph E. B. Lumbard (Penyunting Am); Mohammed Rustom (Pembantu Penyunting)(2015). The Study Quran: A New Translation and Commentary. HarperOne.
Beliau sedar yang ia merupakan tanggungjawab kerohanian yang berat, kerana projek buku ini adalah inisiatif terbesar disiplin Tafsir al-Quran dalam dunia akademia bermediumkan bahasa Inggeris.
Namun, hasil doa dan refleksi, Prof Nasr menyedari yang tugasan ini dipertanggungjawabkan Allah kepadanya. Jika dia menolak, penerbit HarperOne berkemungkinan membatalkan terus projek ini.
Atau, mereka mungkin memberinya kepada ahli akademik yang tersasar dari tradisi intelektual Islam. Ini berpotensi mengubah landskap pemikiran Islamik global, khususnya di barat, bagi dekad-dekad mendatang.
Prof Nasr akhirnya menerima tawaran tersebut dengan meletakkan beberapa syarat.
Antaranya ialah kumpulan projek ini tidak dianggotai sarjana yang hanya memandang al-Quran sebagai kajian akademik semata-mata. Beliau mahu kumpulannya dibentuk sarjana yang berpegang bahawa al-Quran adalah Kata-kata Tuhan, yang hidup dalam roh al-Quran dan berpegang pada tradisi Tafsir klasikal.
Tetamu Baru dalam Genre Study Bible
Projek The Study Quran mengambil lebih sembilan tahun untuk dihasilkan.
Ia bukan hanya cahaya baru dalam kajian Tafsir, tetapi juga episod bersejarah dalam genre akademik yang dikenali sebagai study bible.
Genre ini, seperti namanya, berasal dari jenis penerbitan yang diformatkan khas bagi penyelidik Injil profesional.
Buku dalam genre ini, misalnya The HarperCollins Study Bible,3Harold W. Attridge (2006), The HarperCollins Study Bible, Rev. ed. HarperOne. (Book Depository) dilengkapi anotasi terperinci, rujukan istilah utama (dipanggil concordance), ilustrasi dan peta sejarah.
The Study Quran adalah teks Islam pertama yang memasuki genre penting ini.
Setebal hampir 2000 muka surat, The Study Quran memanfaatkan teknologi dan teknik reka bentuk penerbitan, misalnya:
- Majoriti helaiannya terdiri dari bible paper, adunan kertas khas yang mengimbangkan kekuatan tegangan, ketebalan dan kos penghasilan.
- Teks buku ini kecil dan tidak menyertakan teks bahasa Arab. Walaupun teksnya dicetak kecil, pemilihan Garamond Premier Pro sebagai fon cetakan membuatkan ia selesa dibaca.
Keputusan-keputusan rekabentuk ini membolehkan lautan ilmu The Study Quran dipadatkan ke dalam satu buku, bukan beberapa jilid buku.
Ini menjadikannya sumber rujukan yang menarik untuk dimiliki, walaupun bagi orang awam yang tidak menyelidiki al-Quran secara profesional.

Pengenalan surah dimahkotakan kaligrafi bismiLlāhi al-Raḥmān al-Raḥīm, diikuti penghuraian tema dan asbāb al-nuzūl (konteks penurunan wahyu) surah berkenaan.
Setiap ayat dalam ruang Terjemahan ditandai medalion merah lembut yang minimalis. Di bawahnya tersebar ruang Tafsiran yang dibahagi kepada dua lajur yang kemas.
Selepas surah terakhir, al-Nās, pembaca disajikan koleksi Esei nukilan sarjana Islam semasa.
Bahagian Lampiran mengandungi petikan hadith yang dirujuk dalam Tafsiran, biografi pentafsir, serta garis masa dan peta sejarah al-Quran.
Keindahan Terjemahan, Kekayaan Tafsiran dan Esei yang Informatif
Terjemahan dalam The Study Quran dibina di bahu terjemahan Inggeris yang berpengaruh, seperti Marmaduke Pickthall4Marmaduke Pickthall, The Meaning of the Glorious Quran (New York: Everyman’s Library, 1993). dan A.J Arberry.5Arthur J. Arberry, The Koran Interpreted (New York: Touchstone, 1996).
Kumpulan Prof Nasr juga, dengan perundingan ulama’ lain, menterjemah setiap istilah secara langsung dari Arab al-Quran. Usaha yang mereka laburkan diceritakan oleh Prof Nasr:
… a huge effort and many countless hours have been expended…. This effort included the creation of hundreds of secondary indexing documents and an enormous spreadsheet to track the use of individual words, phrases, and roots appearing in the translation.
(… usaha dan masa yang tidak terkira telah diberikan…. Usaha ini termasuk membina ratusan dokumen pengindeksan sekunder dan hamparan elektronik yang sangat besar untuk mengesan penggunaan perkataan, frasa, dan kata akar yang terdapat dalam terjemahan itu.)6Dalam General Introduction, m. xlii. Terjemahan ke bahasa Melayu oleh saya.
Dengan kata lain, di sebalik tabir terjemahan The Study Quran yang terpapar, mereka membina ratusan muka jadual dan analisis. Mereka memilih ungkapan Inggeris terbaik untuk memaknakan ayat al-Quran, satu demi satu.
Mereka juga mengambil kira elemen puitis al-Quran, memancarkannya sebaik mungkin ke dalam keindahan bahasa Inggeris.
Dari satu segi, ia adalah kelemahan The Study Quran, kerana bagi pembaca yang kurang mahir berbahasa Inggeris, kualiti prosa tersebut sukar dihargai. Misalnya:
Guide us upon the straight path, the path of those whom Thou hast blessed, not of those who incur wrath, nor of those who are astray.7m. 5, Al-Fātiḥah, ayat 6-7.
Perkataan seperti Thou, hast, dan wrath adalah pilihan linguistik yang lebih mencabar berbanding You, have dan anger.
Namun, bagi penutur fasih Inggeris, pemilihan istilah dan sintaks klasikal seperti ini memberi kepuasan penghayatan kerohanian dan ketajaman kefahaman:
- Dari segi penghayatan kerohanian, gaya bahasa ini lebih hampir dengan sensasi fenomenologi penutur Arab ketika membaca Arab al-Quran. Dengan kata lain, penutur fasih Inggeris dapat merasai keindahan Inggeris The Study Quran seperti penutur fasih Arab merasai keindahan Arab al-Quran.
- Dari aspek ketajaman kefahaman, dalam contoh yang saya pilih di atas, The Study Quran memelihara kesamaran al-maghḍūbi ʿalayhim. Kesamaran itu dipelihara melalui those who incur wrath, berbanding those who incur Your wrath. Di sini, ketiadaan agen pelaku ‘Your’ menunjukkan kemurkaan (wrath) itu belum pasti berlaku. Maksudnya, walaupun seseorang itu layak dimurkai, Allah belum pasti murka, dan Dia membuka pintu taubat seluas-luasnya. Ini nuansa penting bahawa rahmah Allah jauh melampaui kemurkaanNya.
Lebih dari keindahan Terjemahannya, apa yang meletakkan The Study Quran di aras tersendiri ialah kekayaan Tafsirannya.
Selain sumber utama biasa seperti ibn Kathīr8Abū l-Fidāʾ Ismāʿīl ibn ʿUmar ibn Kathīr, Tafsīr al-Qurʾān al-ʿaẓīm. dan al-Ṭabarī,9Muḥammad ibn Jarīr al-Ṭabarī, Jāmiʿ al-bayān ʿan taʾwīl āy al-Qurʾān. The Study Quran turut menyertakan sumber autoritatif Islam aliran lain, seperti Ṭabāṭabāʾī10Muḥammad Ḥusayn Ṭabāṭabaī, Al-Mīzān fī Tafsīr al-Qurʾān. (Ithnāʿashariyyah) dan ibn ʿAjībah11Aḥmad ibn ʿAjībah, al-Baḥr al-madīd fi tafsīr al-Qurʾān al-majīd. (Taṣawwuf Darqāwiyyah-Shādhiliyyah). Dalam masa yang sama, ia dilindungi dari sumber yang terpisah dari tradisi klasik Islam seperti tafsiran ‘modenis’.12Lihat m.1645, Quranic Commentaries oleh Walid Saleh. Di sini, ‘modenis’ merujuk kepada golongan yang mentafsir semula al-Quran dengan mengabaikan warisan intelek Tafsir yang terbina sejak Islam bermula.
Maksudnya, The Study Quran meraikan kepelbagaian pandangan dominan sepanjang perkembangan disiplin Tafsir sejak lebih seribu tahun lalu.
Kepelbagaian ini menjanjikan dua perkara:
- Pertama, setiap Muslim dari setiap aliran pemikiran akan menemui tafsiran yang tidak disukainya, kerana tafsiran itu berada di luar alirannya.
- Kedua, ia membuka peluang kepada pelajar untuk meninjau perbezaan tafsiran berwibawa, semuanya di dalam satu kitab yang sama.
Himpunan Esei The Study Quran pula adalah “buku di dalam buku”: ia merangkumi hampir 300 muka surat yang terdiri dari 15 esei dengan topik yang pelbagai, dari Bagaimana untuk Membaca al-Quran oleh Dr Ingrid Mattson hingalah ke Kematian, Menghadapi Mati, dan Akhirat dalam al-Quran oleh Shaykh Hamza Yusuf.
Kesemua esei ini mempersiapkan pembaca untuk melayari Terjemahan dan Tafsiran di teks utama The Study Quran. Selain itu, esei-esei tersebut membantu pembaca menempatkan al-Quran dalam isu kritikal seperti hukum jenayah,13m. 1695, The Quran as Source of Islamic Law oleh Aḥmad Muḥammad al-Ṭayyib tafsiran saintifik,14m. 1679, Scientific Commentary on the Quran oleh Muzaffar Iqbal tafsiran esoterik,15m. 1659, Traditions of Esoteric and Sapiential Quranic Commentary oleh Toby Mayer dan konflik bersenjata.16m. 1805, Conquest and Conversion, War and Peace in the Quran oleh Caner K. Dagli
Kesimpulan
Tiada tafsiran al-Quran yang sempurna dari kesilapan. Jangan jadikan buku ini satu-satunya sumber rujukan, terutamanya bagi pelajar yang mengkaji Tafsir.
Namun, walaupun tidak suci dari kelemahan, The Study Quran akan menjadi sumber utama tafsiran al-Quran dalam dunia akademia bermediumkan bahasa Inggeris. Perkembangan ini pastinya akan disertai pelajar Malaysia yang kebanyakannya memahami bahasa tersebut.
Pelajar akan dapat memanfaatkan buku ini bagi mencabar kefahaman diri, misalnya, tentang perkaitan teologi dan falsafah,17Lihat m. 1719, The Quran and Schools of Islamic Theology and Philosophy oleh Muṣṭafā Muḥaqqiq Dāmād atau cara al-Quran melihat penganut agama lain.18Lihat m. 1765, The Quranic View of Sacred History and Other Religions oleh Joseph Lumbard
Saya berdoa agar ulasan ini membuka hati pelajar untuk mendapatkan The Study Quran, bukan hanya sebagai rujukan kerohanian, tetapi juga sebagai perisai pemerkasaan falsafah Islam di negara kita.19Saya dapat dari Book Depository (kulit keras). Versi kulit lembut yang lebih murah juga boleh didapati. Mereka menyediakan penghantaran percuma ke Malaysia.
PS Saya juga menulis versi yang ditumpukan untuk pelajar bukan Muslim. Lihat The Study Quran for Non-Muslim Learners of Islam.
Notes:
- 1Prof Nasr merupakan polymath yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang falsafah Islam, merangkumi lapangan metafizik, tasawuf dan sains moden. Beliau adalah guru kepada salah seorang guru saya, Prof Dr Osman Bakar, seorang tokoh Falsafah Islam negara yang terkemuka di dunia.
- 2Seyyed Hossein Nasr (Ketua Penyunting); Caner K. Dagli, Maria Massi Dakake, Joseph E. B. Lumbard (Penyunting Am); Mohammed Rustom (Pembantu Penyunting)(2015). The Study Quran: A New Translation and Commentary. HarperOne.
- 3Harold W. Attridge (2006), The HarperCollins Study Bible, Rev. ed. HarperOne. (Book Depository)
- 4Marmaduke Pickthall, The Meaning of the Glorious Quran (New York: Everyman’s Library, 1993).
- 5Arthur J. Arberry, The Koran Interpreted (New York: Touchstone, 1996).
- 6Dalam General Introduction, m. xlii. Terjemahan ke bahasa Melayu oleh saya.
- 7m. 5, Al-Fātiḥah, ayat 6-7.
- 8Abū l-Fidāʾ Ismāʿīl ibn ʿUmar ibn Kathīr, Tafsīr al-Qurʾān al-ʿaẓīm.
- 9Muḥammad ibn Jarīr al-Ṭabarī, Jāmiʿ al-bayān ʿan taʾwīl āy al-Qurʾān.
- 10Muḥammad Ḥusayn Ṭabāṭabaī, Al-Mīzān fī Tafsīr al-Qurʾān.
- 11Aḥmad ibn ʿAjībah, al-Baḥr al-madīd fi tafsīr al-Qurʾān al-majīd.
- 12Lihat m.1645, Quranic Commentaries oleh Walid Saleh. Di sini, ‘modenis’ merujuk kepada golongan yang mentafsir semula al-Quran dengan mengabaikan warisan intelek Tafsir yang terbina sejak Islam bermula.
- 13m. 1695, The Quran as Source of Islamic Law oleh Aḥmad Muḥammad al-Ṭayyib
- 14m. 1679, Scientific Commentary on the Quran oleh Muzaffar Iqbal
- 15m. 1659, Traditions of Esoteric and Sapiential Quranic Commentary oleh Toby Mayer
- 16m. 1805, Conquest and Conversion, War and Peace in the Quran oleh Caner K. Dagli
- 17Lihat m. 1719, The Quran and Schools of Islamic Theology and Philosophy oleh Muṣṭafā Muḥaqqiq Dāmād
- 18Lihat m. 1765, The Quranic View of Sacred History and Other Religions oleh Joseph Lumbard
- 19Saya dapat dari Book Depository (kulit keras). Versi kulit lembut yang lebih murah juga boleh didapati. Mereka menyediakan penghantaran percuma ke Malaysia.